Followers

Hijrah ilallah

Salam Maal Hijrah. Salam Awal Muharam. Salam Perubahan.

Ucapan-ucapan yang lazim keluar diucapkan tatkala tibanya tahun baru hijrah. Apa makna di sebalik kalimah-kalimah ini. terkadang kita hanya menganggap kalimah-kalimah ini sebagai ucapan semata-mata. Terkadang nyata ianya menjadi adat sahaja apabila 1 muharam menjelma. Itulah ragam kita apabila jauh daripada penghayatan di mana letaknya erti penghijrahan Baginda dan sahabat-sahabat r.a. 1430 tahun dahulu.




Namun, apa jua pemikiran manusia, kita perlu sedar. Kita perlu cari setiap apa yang tersirat dari apa yang baginda SAW harapkan daripada umat akhir zaman ini. baginda tidak lagi mengharapkan kita berhijrah dari Mekah ke Madinah sebagaimana baginda lakukan. Nyata dalam sabda baginda tiada lagi hijrah selepas peristiwa tersebut. Bukan juga perpindahan dari mana-mana tempat ke mana-mana tempat di bumi ini walaupun bukan dari Mekah. Tiada lagi makna hijrah yang membawa erti perpindahan.



Jadi apa pula yang dimaksudkan dengan hijrah yang boleh diaplikasikan oleh kita pada hari ini? Saya yakin dan percaya secara optimisnya tiada lagi sahabat-sahabat saya di sini yang masih kabur dengan makna hijrah ini. sekiranya ditanya kepada semua orang, saya jamin setiap jawapan yang diberikan bukan sekadar betul bahkan berpotensi besar adalah TEPAT.


Cuma yang perlu ditekankan dalam kontek hijrah hari ini ialah pada aplikasi kita. Di mana kita meletakkan sasaran hijrah itu. Sejauh mana kita boleh hijrahkan jiwa kita menjadi lebih baik, bahkan menjadi yang terbaik. Persoalan inilah yang menjadi punca ramai akan mengiling kepala. Sukarnya untuk mengukir sebuah PERUBAHAN.





Saban tahun kita di ingatkan dengan peristiwa hijrah. Tiap-tiap tahun kita dikisahkan dengan plot penceritaan, isi-isi dan persoalan yang sama tentang peristiwa bersejarah ini. namun, tahun demi tahun, kesan yang mampu dilihat seolah-olah tidak berubah. Azam yang bersungguh-sungguh dipasakkan seolah tumbang begitu sahaja ditiup angin masa. Layu tatkala gelombang leka dengan dunia melanda. Seolah-olah azam yang sering dikaitkan dengan pengorbanan nabi itu hanya sebagai propaganda kosong sempena menyemarakkan sambutan maal hijrah setiap tahun. Kesal kadang-kadang gagal menghitung keuntungan amalan dalam buku catatan 1430.



Semakin kita matang, bawalah pemikiran ini lebih ke hadapan. Tajamkan pemikiran dengan lunas-lunas perjuangan dan pengorbanan sebagaimana baginda telah contohkan. Jelas, baginda ingin melihat umat akhir zaman pandai mengqiaskan maksud ‘hijrah’ untuk membawa angin perjuangan ke arah yang lebih baik. Binalah strategi baru sebagaimana baginda memperbaharukan strategi dakwah apabila berhadapan dengan penduduk Madinah yang berbeza dengan penduduk Mekah.



Kita hari ini, kebanyakannya diuji oleh propaganda barat yang sangat halus dan licik. Kita tidak dirasa dengan serangan fizikal seperti di Palestine dan sebagainya, tetapi hakikatnya serangan itu tetap ada untuk menhancurkan jiwa-jiwa hambanya daripada terus menghadap ke qiblat dengan hati yang khusyuk dan sejahtera. Dengan itulah, hijrah kita pada hari ini bukan juga hijrah dari sudut fizikal, bahkan hijrah rohani yang masih dikotori oleh jentera-jentera yahudi dan nasrani. Tabiat terlalu dihibur dengan keseronokan dunia seolah menjadi katil dan bantal umat islam yang menambahkan lena kita dalam keasyikan dunia. Di mana perlu kita letakkan segala-gala perubahan ini?



Maka amat beruntunglah mereka yang mampu mengawal diri daripada segala pengaruh nafsu dunia ini dan berubah menjadi lebih baik daripada semalam. Islam dari dahulu lagi mengingatkan umatnya berubah. Berubahlah dangan ilmu yang Allah beri. Hitung diri di mana letaknya kita pada hari ini. sudah banyakkah kita mengikhlaskan pengorbanan untuk islam? Sejauh mana kita sanggup manjadi rantai yang akan menyambung salasilah pengobanan Nabi? HIJRAH itu akan menjadi indah sekiranya kita sendiri yang pandai menghidupkan suasananya dalam kala umat sedang terhumbang ke lembah kebinasaan. Jadi, ayuh sama-sama kita menyahut seruan hijrah ini, mengubah diri untuk mengubah ummat.



~Salam Maal Hijrah~




::Biarlah yang sukar itu diharungi, yang pahit itu dirasai, yang perit itu ditangisi asalkan langkah kita tidak sesekali berhenti::

Read more...

Tamadun Islam Terus Pesat

Dalam bidang sejarah, orang islam zaman suatu ketika dahulu sangat peka dengan sirah mahupun juga sejarah yang tercatat pada zaman jahiliyah lagi. Mereka banyak mempelajari apa yang terkandung dan natijah daripada sejarah-sejarah ini untuk menjadi tonggak perjalanan mereka daripada sebarang cabaran dan kemungkinan. Sesungguhnya ilmu sejarah tidak boleh disangkal kepentingannya kerana sememangnya ia membawa 1001 pengajaran dan iktibar yang penting dan luas untuk dipraktikkan pada masa sekarang mahupun akan datang.

Seorang penulis eropah pernah mengatakan bahawa pakar-pakar sejarah islam berjaya mengatasi ahli-ahli sejarah yang lain. Mereka mampu menggabungkan ilmu-ilmu alam dan sejarah dengan ikatan yang erat. Pengiktifaran ini merupakan satu kebesaran buat pengkaji ilmu-ilmu islam sekaligus menzahirkan kehebatan ilmu islam bukan sekadar berkisar dalam skop agama dan dakwah semata-mata. Maka tidak hairanlah Ibnu Khaldun juga bergelar seorang tokoh yang hebat dalam mengkaji ilmu sejarah islam ini.



Daripada ilmu sejarah inilah, ummat islam pada hari ini perlu berasa bersyukur kerana menerima manfaat yang amat banyak daripada catatan pangkaji-pengkaji dan ulama’ terdahulu. Tanpa bidang sejarah ini, mana mungkin kita pada hari ini mampu mengenal tokoh-tokoh agama yang bertungkus lumus menghias agama Allah ini dengan ketamadunan yang cantik dan tersusun rapi.




Qal'ah Sultan Salahuddin Di Iskandariah

Bukan sekadar ilmu sejarah, bahkan tercatat juga perkembangan yang pesat dalam banyak lagi cabang ilmu dalam rekod ketamadunan islam suatu ketika dahulu. Bahkan, Iskandariah juga telah menjadi pusat atau markaz kebudayaan Yunani dalam usaha untuk mengukuhkan dan memartabatkan semula ketamadunan islam. Dalam ilmu perubatan, pemerintahan kerajaan Umawi telah banyak menyusun buku-buku yang telah diterjemahkan daripada bahasa Yunani kepada bahasa Arab. Kemudian usaha untuk menghimpun ilmu-ilmu ini digiatkan lagi pada zaman pemerintahan Khalifah Abassiah. Sememangnya ilmuan-ilmuan arab tidak teragak-agak untuk menimba ilmu daripada semua tamadun yang mereka temui. Inilah sebahagian daripada pencetus kemajuan tamadun islam sehingga menjadi suatu tamadun yang tersohor ketika itu.



Jika disingkapkan lagi perjalanan sejarah islam, sudah tentu akan menjadi terlalu panjang memandangkan zaman pemerintahan khalifah islamiyah suatu ketika dahulu telah berjaya menunjukkan kegemilangan islam sehingga menggerunkan ketamadunan Barat. Hakikatnya, empayar Uthmaniyah sendiri telah berjaya melahirkan tokoh pemimpin agung seperti Sultan Muhammad al-Fatih. Pada tahun 1453 M, beliau berjaya menakluki Kota Constantinople bersama-sama dengan 150 000 orang tentera. Ketika itu, beliau hanya berumur 21 tahun tetapi telah mampu menakluk Constantinople bahkan beliau telah menggunakan teknologi senjata yang belum pernah lagi digunakan oleh orang lain ketika itu. Sehingga akhirnya, kota itu jatuh juga ke tangan orang Islam.


Aplikasinya, sejuah mana kita telah mengimbas ke medan sejarah islam dahulu? Mampukah kita mencontohi ketokohan mereka? Mungkinkah akan lahir semula jiwa-jiwa seperti Sultan Muhammad al-Fatih pada hari ini?


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu yang akan mengubahnya sendiri” (ar-ra’d:11)



Iktibar daripada sirah dan sejarah islam sebenarnya ibrah yang paling berharga untuk kita menghitung semula ketamadunan kita pada hari ini. Adakah dengan hancurnya Khalifah Islamiyah itu bermakna pemerintahan islam selamanya musnah? Selemah mana pun kita hari ini, kewajipan itu tidak akan gugur untuk menyedarkan semula ummat yang sedang asyik dilamun cinta dunia, lena didodoi kemewahan harta bahkan masih lagi mabuk dengan maksiat yang tiada lagi batasan syariat.



“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (ali-Imran:104)


Sultan Muhammad al-Fateh



::Allah muliakan insan dengan Taqwa,darjat diangkat kerana Taqwa, jadi janganlah kamu muliakan aku dengan banyaknya harta, sempurna paras rupa sekalipun pandai berkata-kata kerana itu hanya membutakan hatiku untuk terus menilai erti takutkan Pencipta. Sebaliknya, pimpinlah aku ke jalan taqwa andai diriku dilambung leka::

Read more...

Bukti Ketamadunan Islam

Keagungan tamadun islam suatu ketika dahulu sangat jelas membuktikan bahawa islam bukanlah satu agama yang mundur, tidak mudah diperlekehkan apatah lagi untuk dipermainkan. Kekuatan yang ada pada pemimpin-pemimpin islam sentiasa dikagumi rakyat bahkan dikagumi oleh musuh-musuh islam yang sentiasa dan tidak pernah leka untuk hancurkan islam.


Bermula daripada zaman Rasulullah, ketamadunan islam yang baru kini bermula setelah gelap gelita sebelum turunnya wahyu yang pertama. Zaman jahiliyah memang membuktikan segala-galanya bahawa zaman itu kehidupan umat manusia kucar-kacir, gelap zulumat seolah-olah bulan dan matahari sedikit pun tidak kelihatan, apatah lagi untuk melihat bintang. Tidak ada sedikit pun cahaya yang mampu menunjukkan jalan memperbetulkan langkah ummat.



Akhirnya, wahyu yang pertama diturunkan. Tidak semudah kita menerima ilmu pada hari ini, bahkan baginda SAW ketika itu diserang pelbagai perasaan. Baginda menggigil kesejukan walaupun peluh mengalir pada badan baginda seolah-olah dalam ketakutan. Kedatangan Jibril a.s memeluk baginda sehingga sukar untuk bernafas. Dipaksa pula baginda untuk melafazkan wahyu pertama sedangkan baginda yang ummi itu sedikit pun tidak pandai untuk membaca. “Ma ana biqarie”(aku tidak pandai membaca). Diulangnya 3 kali oleh Jibril a.s sehinggalah akhirnya baginda menuturkan dengan berat sekali. Pulanglah baginda pada malam itu dengan wahyu tersebut. Hanya gua’ hira yang menjadi saksi betapa sukarnya baginda menerima menunjukkan betapa beratnya amanah yang akan dipikul oleh baginda untuk membawa rahmat kepada sekalian ummat manusia.


Sepayah perjalanan nabi, tiada yang dapat menandingi perjuangan baginda. Dicemuh,dicaci,dihina itu menjadi perkara biasa. Itulah sebenar-benar perjuangan. Allah telah menguji para nabi dan para rasul dengan ujian yang tidak dirasa oleh golongan-golongan lain.



“Seberat-berat ujian kepada manusia ialah untuk para nabi, kemudian golongan selepas itu dan selepas itu”. Begitu jelas baginda bersabda. Bermula daripada kelahiran sehinggalah kewafatan baginda, kehidupan manusia beransur-ansur berubah terutama pada bangsa arab itu sendiri. Kejayaan yang amat besar dikecapi baginda dalam mendidik bangsa itu dengan akhlak yang sangat mulia. Tidak hairanlah sehingga sekarang baginda mendapat gelaran ‘pemimpin terbaik dunia’. Masih tiada yang mampu menandingi kepemimpinan baginda. Saya yakin, pasti tidak akan ada.



Perjuangan baginda disambung semula oleh barisan khulafa’ ar-rasyidin kemudian kerajaan islam selepas itu. Umayyah, Abbasiyah dan Turki Uthmaniyah. Sejarah merakamkan bahawa bangsa arab menjadi perintis sebaik sahaja mereka keluar daripada semenanjung arab pada abad ke-7 masihi. Pada abad ke-11, tamadun islam mula melebarkan sayapnya ke Eropah barat. Penaklukan negara Sepanyol, perang salib serta hubungan yang baik dengan negara-negara timur tengah menjadi saluran penting perkembangan ini.



Perpecahan yang berlaku dalam masyarakat Sepanyol seolah membuka pintu kepada orang islam untuk menguasai tanah tersebut. Antara faktor utamanya ialah apabila seorang pemimpin negaranya bersama ketua pembesar agama kristian katolik telah menolong orang islam datang dan menawan Sepanyol. Dari situlah kekuatan islam terus dibina untuk menguasai negara Eropah yang lain. Kemajuan islam dan teknologi dibina. Orang islam ketika itu semakin cinta pada ilmu sehinggalah mereka menceburi pelbagai bidang seperti sains, kesusasteraan, kesenian dan sebagainya. Bahkan mereka sendiri mengumpul semula kitab-kitab dan membawa masuk ke Sepanyol. Ulama juga diundang untuk menjadi perintis Ilmu di sana. Begitulah usaha yang tidak putus-putus untuk memartabatkan islam suatu ketika dahulu.



...To be Continued...



"Ajarkan aku untuk membuatkn ummat ini gembira dan tersenyum, mampu mengubat luka ummat yang kini sedang parah dengan penyakit sosial,gelita dengan fitnah dunia, hanyut dengan kekayaan harta. Di mana murabbi-murabbi yang akan menjadi tabib kepada segala musibah yg sedang melanda............kalau bukan kita"

Read more...

Sebelum Jiwa Kembali Kontang...

Sedar tidak sedar, sudah 3 bulan membiarkan ruangan blog ini terbiar tidak di'update'. Pelbagai persoalan kenapa dibiarkan kosong begitu lama..?? adakah kerana terlalu sibuk? atau tiada isi untuk dikongsi? atau sudah jemu dengan menulis? terlalu banyak andaian tetapi apa jua pun alasan, saya kembali terfikir,sekali kita turun ke medan perang, tiada lagi jalan pulang selagi tidak bergelar pemenang dan selagi musuh tidak ditawan.

Post terakhir saya bertarikh 15 Julai. Satu jangka masa yang amat panjang membiarkan blog ini menjadi usang. Selama itu jugalah saya ketinggalan dalam mengikuti arus penulisan para bloggers dan sahabat-sahabat handal. Percutian yang bermula sebaik sahaja selesai peperiksaan semester 2 yang lepas seolah-olah membuka peluang keemasan untuk saya manfaatkan status sebagai seorang musafir ilmu di bumi anbiya’ ini. Kesibukan itu meninggalkan kesan negatif kepada pengurusan masa saya untuk berhadapan dengan ruangan blog yang kosong ini.


Seperti biasa, setiap kali cuti bertandang, Kaherah mesti menjadi destinasi utama saya. Sejak dari itu, musafir saya berganda sehinggalah kembali merehatkan diri di tanah air sendiri. Malang yang tidak disangka, sambungan internet di rumah saya pula menjadi ujian untuk saya terus mendekatkan diri dengan ruangan peribadi ini.


Walaubagaimanapun, perjalanan kita masih jauh. Perjuangan kita tiada penghujung selagi islam tidak dijunjung. Minda-minda muda seperti kita perlu diasah lagi dan lagi supaya karat tidak berhabitat seperti kekalnya ia pada besi-besi. Ia perlu diasuh supaya hati tidak gelap dengan noda dan dusta dunia.


Saya bertambah kagum apabila sekilas membaca ruangan blog sahabat-sahabat yang turut sama berjuang di alam maya ini. Isi-isi yang begitu teruja untuk dibaca,bahkan muntahan ilmu itu seolah-olah tidak mahu berhenti selagi jari jemari mereka tercas dengan energy­ yang digenerate dalam proses metabolism badan sendiri. Begitu kagum hendaknya melihat golongan yang bingkas berhujah ini. Cita-cita saya supaya turut sama menyumbang idea untuk menjadi professional seperti mereka dalam menutur kalam-kalam dakwah.



Apa yang lebih mengagumkan saya ialah apabila membuka ruangan blog junior-junior yang penuh dengan kalimah-kalimah dakwah, yang mampu mengetuk hati bukan sahaja yang sebaya dengan mereka bahkan yang lebih berumur daripada mereka. Begitu cepat generasi yang cintakan ilmu ini bangkit. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan redha Yang Maha Esa untuk terus thabat dalam perjalanan ini.



Kekuatan ummah ini bukan sahaja bertapak pada ilmu semata-mata, tetapi ia akan menjadi lebih sempurna apabila dipakejkan lengkap dengan amalan dan praktikal. Begitu yang disebut-sebut oleh ulama’ supaya kita tidak hanya leka mencari ilmu sehingga lupa untuk diaplikasikan ke dalam kehidupan ini supaya lebih terbukti kefaqihannya.



“Dalamilah ilmu sebelum kamu memimpin”



Begitulah kata-kata yang pernah terbit dari bibir seorang khalifah besar islam, seorang daripada khalifah ar-rasyidin, Saidina Umar al-Khattab RA. Kepemimpinan beliau terbukti hebat dan tidak boleh disangkal walaupun beliau sendiri pernah menentang kepimpinan Rasulullah sebelum keislamannya. Begitulah kesucian jiwanya selepas dibersihkan sehingga bergelar amirul-mukminin.



Orang berilmu menurut nabi ibarat sinar rembulan,yang mampu mencerahkan malam yang gelap, menunjuk jalan bagi yang sesat dan menyinarkan suasana yang kelam menjadi indah. Lantaran itu, baginda menyatakan dalam sabdanya bahawa menuntut ilmu merupakan amalan yang paling baik dan sangat-sangat dituntut. Tidak boleh disangkal lagi, Imam as-Syafie juga berani menyatakan menuntut ilmu sesaat lebih baik daripada solat sunat 2 rakaat.



Kisah-kisah ulama sang pecinta ilmu sangat banyak meninggalkan pengajaran untuk ummat akhir zaman ini. Ketekunan mereka tiada tandingan. Di mana ada perigi, di situlah yang pasti mereka kali. Tidak dikisah lagi jaraknya bahkan Imam Ahmad pernah mengembara sejauh beratus-ratus batu sehingga mengambil masa selama berhari-hari demi mendapatkan hanya sebuah hadis yang sampai sanadnya kepada Rasulullah.



Begitu indah perjuangan mereka. Perjuangan seorang ulama dulu jauh lebih hebat berbanding perjuangan seribu kita hari ini. Halakanlah pandangan kepada diri kita sendiri, bukan pada orang lain. Sudah layakkah kita untuk mewarisi perjuangan mereka pada hari ini? Rantai-rantai perjuangan tetap perlu disambung walau payah mana sekalipun kita diuji.




::takkan kutewas melawan nafsu, takkan kurebah melangkah maju, takkan ku tersungkur sebelum ajal menjemput, takkan ku mengalah selagi bau syurga belum kuhidu. itulah harapan perjuangan hidupku::

Read more...

Hanya Setitik Daripada Lautan Ilmu Tuhan

Sesusah manapun menuntut ilmu, saya yakin medan ilmu yang ada hari ini tidak sepayah perjuangan alim ulama yang silam. Kisah Imam Bukhari, Imam Syafie, Imam Ahmad bahkan ramai lagi berjuang memang tiada tandingannya dengan penuntut-penuntut ilmu hari ini. Mereka sanggup merantau ribuan batu untuk menadah walaupun setitis ilmu. Begitu kuat semangat mereka, begitu tinggi disiplin mereka sehingga kualiti dan kuantiti ilmu yang mereka capai tidak dapat ditandingi oleh generasi hari ini.

Rasulullah pernah berpesan: “ambillah hikmah walau darimana sekalipun ia keluar”


Ilmu itu seperti air, di mana-mana pun kita berada, dia tetap ada. Di padang pasir, koreklah pasir kalau tidak percaya. Di atas pokok, takirlah dahannya pasti ada saja cecair yang mengalir. Dimusim kemarau, peluh tetap mengalir walaupun sedikit. Dimana jua, ia pasti ada.


Analoginya kita nak kaitkan di sini, walau dimana kaki kita berpijak, carilah hikmah di situ walaupun sedikit. Belajarlah daripada siapa sahaja yang ada, bahkan haiwan juga tidak mustahil untuk menjadi guru kita. Ingatkah kita kisah Habil dan Qabil?



Mungkin kanak-kanak boleh menjadi guru kepada orang yang sudah tua. Ingin saya cerita, ada seorang budak yang masih lagi kecil,mentah, mungkin tidak mencapai lagi alam persekolahan. Si ghulam ini setiap hari akan mengikut ayahnya yang mengembala kambing di sebuah ladang, belakang rumahnya. Oleh kerana hari-hari dia berhadapan dengan kambing, hidup kambing itu telah menjadi sebati dalam kehidupannya. Lapar kenyang kambing semua dia tahu bahkan jantan betina jangan ditanya, semua jawapan ada dalam kepalanya.


Sehinggalah tiba suatu hari, seorang pak cik yang sudah berumur datang untuk membeli kambing peliharaan bapanya itu. Sambil menjenguk, si ghulam inilah yang akan menunjukkan kambing mana yang selayaknya dan baik untuk dibeli. Bahkan pak cik itu pula yang bertanya kepada si ghulam ini, “kambing ini sudah boleh menyusukan anak ke belom?” lalu di jawabnya si ghulam itu dengan mudah sahaja.



Pak cik itu bertanya lagi “apakah makanan khas yang sesuai untuk kambing ni membesar dengan sihat tanpa penyakit?” lantas si ghulam itu menjawab tanpa berfikir panjang.


Lihat di sini, pak cik itu secara tidak langsung telah belajar sedikit ilmu dengan si ghulam itu tadi. Walaupun secara tidak formal, namun ilmu itu tetap berharga, sangat berguna untuk dia belajar menternak kambingnya. Mungkin aplikasinya boleh terjadi dalam perkara yang lebih besar kerana jalan kehidupan manusia itu berbeza-beza. Ini bermakna, guru memang tidak mengenal usia walaupun pulahan tahun umur berbeza.



Seorang doktor pakar(specialist), mungkin ada perkara yang dia belajar secara langsung atau tidak langsung daripada doctor biasa(medical officer). Mungkin disebabkan tempat belajar dulu tidak sama, pengalaman pasti berbeza juga. Apa-apa pun, setiap ilmu itu ada nilai dan hikmahnya.


Di sini sesuai dikaitkan dengan sabda baginda yang bermaksud:

“janganlah orang yang alim itu menyembunyikan ilmunya dan janganlah pula orang yang jahil itu menyembunyikan akan kejahilannya”.


Nabi Muhammad gedung ilmu dan Saidina Ali itu pintunya, barangsiapa yang ingin masuk ke dalam gedung, maka masuklah melalui Ali. Saidina Ali karramallahuwajhah memang seorang cendekiawan di zaman baginda dahulu. Beliau seorang khalifah yang sangat cerdik dan pintar. Di sinilah kelebihan beliau berbanding khalifah-khalifah ar-rasyidin yang lain. Hal ini menunjukkan tahap penguasaan ilmu manusia itu berbeza.


Hari ini kita mungkin seorang yang pakar tentang tubuh badan manusia, menjadi sumber rujukan masyarakat dalam masalah kesihatan fizikal. Suatu hari, kita pula akan berjumpa dengan seorang yang arif tentang tubuh badan binatang, tumbuhan dan seumpamanya. Ketika itu ilmu kita diam, tidak terkata apa-apa.


Adab seorang penuntut ilmu supaya tidak bersikap ego untuk menerima sebarang ilmu yang ada. Seperti tadi, seorang pak cik yang belajar dengan seorang kanak-kanak, anak seorang pengembala yang masih belum mengenal ABC menerima dan memahami satu hakikat kebenaran yang ditunjukkan oleh kanak-kanak itu.


Teringat saya kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali,

“barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf, aku sanggup menjadi hamba kepadanya”


Hamba di sini bukanlah bererti hamba kepada Tuhan, sebaliknya dimaksudkan betapa Saidina Ali menghormati orang yang mengajar sehingga sanggup melakukan kehendaknya sebagai budi yang diterima. Beginilah, apabila kita mengenal ilmu, kualiti dan kuantitinya, pasti manusia tidak akan merasa puas untuk terus mencedok ilmu yang diibaratkan hanya setitisa daripada lautan ilmu Tuhan.

“Allah mengangkat darjat orang yang beriman antara kamu dan juga orang yang menuntut ilmu itu beberapa darjat” (surah al-mujadalah:11)


Semoga dikesempatan dalam kehidupan ini, Allah sentiasa memudahkan kita untuk menerima dan memnyebarkan segala ilmu yang ada agar terlepas daripada kejahilan dunia mahupun akhirat.

“barangsiapa yang menginginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Barangsiapa yang inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan barangsiapa yang inginkan kedua-duanya sekali, hendaklah dengan ilmu” (al-Ghazali)



::Sekiranya manusia itu tahu betapa bahayanya kejahilan, pasti mereka akan berebut untuk mencapai kejayaan walaupun terpaksa merangkak di tengah padang pasir yang kepanasan::

Read more...

Semarak Perjuangan...

PERUBATAN Caw. Iskandariah

PERUBATAN Caw. Iskandariah
Laman Rasmi PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Forum Perbincangan PCI

Forum Perbincangan PCI
Forum Perbincangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Keluarga Penuntut Terengganu

Keluarga Penuntut Terengganu
Laman Rasmi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT)

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP