Followers

PERJALANAN DI JAMBATAN DUNIA KE DESTINASI YANG KEKAL SELAMANYA

Siang berganti malam,satu gerak masa yang akan meningkatkan usia remaja kepada lebih dewasa. Yang dewasa pula tidak akan terlepas dengan peningkatan usia untuk mejangkaui alam tua. Seperti fitrah alam dan sunnah kejadian, usia ini semestinya tidak akan kekal di dunia sebaliknya setiap insan yang bernyawa pasti tanpa ragu-ragu lagi akan dihentikan nafas oleh malaikat yang telah tetap tugasnya untuk mencabut nyawa. Mesti diingat, inilah satu kepastian bahkan dengan bukti harian pada setiap masa, ada sahaja yang bertukar alam dari alam dunia ke alam kubur. Bahkan malaikat izrail sendiri akan mencabut nyawanya setelah selasai tugasnya terhadap sekalian makhluk.

Bila kita akan dipanggil untuk menghadapnya?

Hari ini mungkin bukan kita yang dikembalikan ke sana. Dengan rahmatnya kita masih diberi peluang untuk menggunakan segala nikmat kehidupan ini sebelum ajal menjelma. Namun peringatan buat diri ini agar hati tidak leka bahawa ajal itu adalah ketetapan dariNya, tidak dilambatkan mahupun diawalkan walaupun sesaat. Hal ini telah jelas di sebut oleh Allah dalam firmanNya sirah al-A’raf ayat 34:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan”.

Dalam kitab syarah hadis 40 Imam Nawawi juga ada menyabut dalam hadis yang ke-4 maksudnya: lalu dia(malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis empat perkara. 1) rezekinya 2) ajalnya 3) amalnya 4) celaka atau bahagianya.

Hadis ini jelas menguatkan satu ketetapan yang telah dicatat berkenaan ajal manusia itu sendiri. Cuma dirahsiakan waktunya supaya ummat manusia sentiasa bersedia dengan amalan-amalan syurga. Rasulullah sendiri menyebut dalam hadisnya supaya kita sentiasa beringat akan kematian.

“sesungguhnya hati manusia itu berkarat sebagaimana berkaratnya besi. Sahabat lalu bertanya, bagaimana ingin digilapkannya ya Rasulullah. Bersabda Rasulullah, perbanyakkanlah membaca al-Quran dan MENGINGATI MATI.”

Di bumi manakah nafas kita akan berakhir?

Persoalan ini dapat dikaitkn dengan sepotong ayat yang di sebut oleh Allah dalam surah Luqman ayat 34:

“Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Jadi, persediaan untuk kita sebagai hamba iaitu dari segi amalan ibadah supaya terus istiqamah dan berterusan walau di mana jua kita berada. Mungkin di hutan, mungkin dalam kedai makan atau pasar malam. Persediaan ini melatih supaya hati kita tidak merasa malas menunaikan segala kewajipan sekalipun kita berada di suatu tempat yang menyukarkan untuk menunaikan ibadah.

Kesyumulan islam itu sendiri sudahpun mengariskan ajaran dan panduan yang ditinggal oleh Rasulullah untuk kita tetap dengan ibadah sekalipun dalam keadaan musafir perjalanan ataupun ataupun dimedan peperangan,lebih-lebih lagi dalam keadaan sakit di hospital. Itulah pelbagai rukhsoh yang telah islam syariatkan supaya ketaatan dan kesetiaan kita bukan sahaja dalam masjid semata-mata.

Apakah persediaan kita untuk itu?

Pastinya persoalan ini mengundang jutaan jawapan yang akan berkisar dengan amalan seseorang. Dari mana pula lahirnya amalan? Sudah tentu ibunya ialah ketaqwaan. Oleh sebab itu, ketaqwaan seseorang itu semestinya dinaiktarafkan sepanjang masa kerana inilah sebaik-baik bekalan akhirat yang akan memberi keuntungan kita di hari perhitungan akan datang. Dalilnya juga terang-terang disebut dalam surah al-baqarah ayat 197:

“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal”

Seiring dengan ketaqwaan, kesan amalan yang dizahirkan pasti akan menjamin kualiti ibadah dan kehidupan seseorang muslim kerana ketaqwaanlah yang akan menjadi penyuntik ransangan sesuatu amalan untuk mencapai tahap keikhlasan yang semaksimun mungkin. Keikhlasan pula akan menjadi kayu ukur Ilahi adakah amalan itu berisi atau berkulit semata-mata.

Keikhlasan dalam beramal itu bukan diukur pada hasil sesuatu amalan sebaliknya dinilai walaupun natijah yang diperolehi sekadar sedikit kerana yang akan sampai kepada Allah itu bukannya zat atau hasil atau fizikal sesuatu amalan, tetapi yang akan diterima olehNya ialah keikhlasan yang lahir dari ketaqwaan. Titik pengiraan ini Allah juga menyebut dalilnya dalam Surah al-hajj ayat 37 yang bermaksud:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu”

Disamping itu, suruhan Allah supaya kita sentiasa bekerja atau beramal juga disebut kerana amalan inilah nanti akan mengisi bekalan taqwa agar ianya tidak kosong. Ayat firmanNya dicatat dalam surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud:

“Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu'min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Inilah dalil-dalil yang menjadi penyuntik amalan kita supaya ketaqwaan kita sentiasa bertambah untuk dibekalkan ke akhirat sana.

Destinasi terakhir, antara syurga ataupun neraka?

Menyebut tentang destinasi terakhir ini, sudah tentu jawapan yang akan diberikan oleh semua orang, baik berakal atau tidak semestinya syurga yang menjadi idaman. Namun perlu kita berwaspada dan berhati kerana hadiah yang baik itu pasti mahal harganya dan sukar jalannya sebaliknya sesuatu yang buruk itu sangat mudah untuk mencapainya.

Dalam mengungkapkan destinasi kedua-duanya ini, berulang-ulang kali disebut oleh Allah dalam al-Quran sekaligus membandingkan terus siapakah yang menghuni syurga dan siapa pula yang akan menghuni neraka?

Dalam surah an-nisa Allah menyebut 2 ayat menceritakan siapakah bakal-bakal penghuni Syurga dan Nerakanya. Ayat ini masing-masing bernombor 56 dan 57.

Maksudnya:

“ Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(56) Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang shaleh, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai; kekal mereka di dalamnya; mereka di dalamnya mempunyai isteri-isteri yang suci, dan Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh lagi nyaman”.

Di sini mungkin tidak sempat untuk menghuraikan lebih jelas siapakah yang dimaksudkan orang-orang yang ‘kafir dengan ayat-ayat kami’. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang dilaknat ini. Nauzubillah!

Bagaimana pula maqam syurga yang kita inginkan?

Syurga itu merupakan hadiah pemberian Allah yang sangat berharga kepada hamba-hambanya yang mempunyai ‘nilai’ atau ‘kualiti’. Justeru, sudah pasti ciptaannya sangat cantik dan besar. jika hari ini kita sudah terpegun dengan ciptaan istana-istana manusia, pasti nanti kita akan terkejut dan ‘tersentak’ melihat kehebatan dan kebesaran istana ciptaan Yang Maha Mencipta.

Namun hakikat maqam yang ingin disebutkan di sini mungkin ada sedikit sama dengan cara penciptaan maqam dalam istana manusia di dunia ini. Siapa yang tinggi darjatnya, pasti akan menduduki maqam yang lebih tinggi. Begitu juga maqam-maqam yang ada di dalam syurga, keistimewaan yang diberikan sudah tentu kepada hambanya yang diangkat darjatnya dek bekalan amal yang banyak sewaktu di dunia.

Antara maqam yang disediakn ialah syurga Firdaus dan inilah maqam yang paling tinggi di sediakan. Siapakah pula gerangan penghuninya? Firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11 menggariskan dengan terperinci syarat-syarat untuk menghuni syurga terbaik dan teratas ini.

Semoga kita semua dimudahkan dengan limpahan rahmatnya untuk bersemayam di dalam syurga yang penuh dengan nikmat-nikmat dan kesenangan yang jauh lebih bernilai berbanding dengan kesenangan dunia yang penuh dengan fitnah dan tipu daya. Jangan lupa untuk sentiasa bersenjatakan doa agar diri kita terlindung daripada segala hasutan syaitan yang menginginkan manusia menemani mereka di neraka sana.

....Nauzubillahi minassyaitaanirrajim....

Read more...

Semarak Perjuangan...

PERUBATAN Caw. Iskandariah

PERUBATAN Caw. Iskandariah
Laman Rasmi PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Forum Perbincangan PCI

Forum Perbincangan PCI
Forum Perbincangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Keluarga Penuntut Terengganu

Keluarga Penuntut Terengganu
Laman Rasmi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT)

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP