Followers

Ingin kudalami kasih Baginda Nabi

Hari ini saya cuba untuk menulis lagi. Esok, kertas terakhir untuk peperiksaan saya pada semester ini. Saya cuba juga untuk mencelah, berkongsi sedikit apa yang ada walaupun masa sekarang ini masih belum lapang sepenuhnya. Jika menunggu, belum pasti sampai bila akan bertemu dengan ruangan masa yang betul-betul lapang dan senang hatta waktu cuti pun tidak jamin berkesempatan untuk bersama blog ini. Moga Allah berkati masa-masa ini.

Hari ini, taqwim hijri sudah mencapai angka 10 haribulan. bermakna, selang sehari dua lagi akan bertemu dengan ulang tahun kelahiran Baginda SAW. Sambutan maulud menjadi simbol kegembiraan kita untuk meraikan saat kelahiran baginda. Semalam, saya diperingatkan sekali lagi oleh pengarah program sambutan maulud untuk tolong carikan moderator forum. Alhamdulillah semuanya sudah selesai setelah hampir seminggu mencari.

Forum bersempena maulidur rasul kali ini bertajuk "Cintaku Cintamu". Saya cuma bersetuju dengan cadangan pengarah program. Mungkin mereka lebih tahu apa yang tersirat disebalik tajuk ini. Ataupun, mungkin pada sesi forum nanti akan diterangkan dengan lebih mendalam apa yang tersirat. Kita tunggu.

Saya semakin kurang sabar. Bukan ingin melepaskan perasaan yang bukan-bukan, tetapi tidak sabar menunggu tibanya saat ahli panel berhujah dan mengeluarkan pendapat. Alhamdulillah, berkat usaha dan semangat ahli jawatan pelaksana program, panel jemputan kali ini semuanya hebat-hebat. Bahkan dikenali ramai oleh pelajar-pelajar Malaysia satu Mesir. Seorang ustaz yang sedang mengambil master di Mansurah, al-Fadhil Ustaz Salman bin Maskuri yang juga turut terkenal dengan blog akhisalman. Seorang lagi sedang menjawat sebagai Pengerusi Persatuan PERUBATAN Cawangan Zagazig, Dr. Syamsul Bakri manakala ahli panel yang ketiga bernama Ustazah Nor Akmar, Mahasiswi tahun 4 usuluddin Universiti al-Azhar Iskandariah.

Cukup kagum saya melihat gerak kerja jawatankuasa pelaksana. Kalau saya yang berada ditempat mereka, mungkin ada kurangnya. Malu saya sebagai penasihat, terkadang tersindir rasanya apabila pengarah program memanggil 'big boss'. Saya tersenyum sedih, takut-takut tidak sempurna tugas saya sebagai penasihat program. Tidak banyak idea yang mampu saya sumbangkan. Saya cuba yang terdaya.

Selesai petang semalam, berbincang dengan pengarah, merongkap andai ada lopak-lopak yang perlu ditutup dalam gerak kerja pelaksanaan. Kadang-kadang bimbang juga takut-takut ada yang terlepas pandang,cacat program kerana leka sesuatu yang kecil, sangat merugikan. Harap-harap semuanya berjalan lancar.

Dulu ada yang mempertikai. Tidak perlu buat program-program maulud sebegini. Nabi tidak pernah buat. Bid'ah katanya. Saya tersenyum, hormat pada ilmunya. Hormat juga pada ijtihad ulama yang mengatakan ini tidak boleh. Tetapi tetap ada pendapat yang menyokong sambutan maulud ini sebagai bid'ah hasanah, tanda kita mengingati baginda. Saya ambil yang baik.


Menunggu intipati majlis

Bersempena menyambut kelahiran baginda, di sinilah cuba kita cungkil semangat-semangat khusus dalam mengamalkan sunnahnya bahkan suntikan semangat yang terkandung dalam sirah perjuangan hidup Baginda teramatlah banyak. Sekiranya ini baik, pasti Allah memandang mulia selagi tidak bertentangan dengan syariat. Kita tidak mengadakan pesta bukan-bukan, apatah lagi yang jelas menampakkan kecacatan islam sebaliknya mengadakan tazkirah-tazkirah yang menjurus khusus berkenaan Baginda kesayangan. Semoga Allah menambahkan lagi rasa cinta kita terhadap Baginda. Aku rindu padamu ya Rasulallah.
Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehingga dia mencintaiku lebih daripada dirinya sendiri, anaknya, keluarganya dan manusia keseluruhannya". (Riwayat Imam Ahmad, Imam Bukhari, Imam An-Nasai, Imam Muslim dan Imam Ibnu Majah)
Selain Allah, tiada lagi yang layak mengatasi rasa sayang kita kepada Rasulullah. Bergembiralah, sesungguhnya Rasulullah sangat sayang kepada kita. Biarlah kenyataan ini sentiasa ada dalam hati kita agar kita sedar dan berusaha mempertahankan kasih kita kepada Baginda SAW. Namun begitu, kasih sayang Baginda kepada kita jauh lebih tinggi. Setiap kali ingin melelapkan mata pada waktu malam, Baginda sentiasa fikir dan risau akan ummat. Risau Baginda kerana terlalu 'caring' dengan ummat baginda sendiri. Lebih dari itu, saat nafas terakhir baginda, masih sempat baginda menyebut 'ummati'..'ummati'..'ummati'.. Tingginya cintamu pada ummatmu wahai Rasulallah.

Semoga kita dapat bersama-sama Baginda di sana nanti.
Sabda Baginda, "Barangsiapa yang menghidupkan sesuatu dari sunnahku, sesungguhnya aku dan dia di dalam syurga nanti seolah 2 jari(sangat berada dekat)"
Bagaimana pula cinta kita terhadap Baginda? Sampaikah kita kepada martabat sayang dan cinta yang sebenar. Ataupun masih lagi ada dalam hati kita cebisan cinta yang melebihi cinta kepada Baginda. Beringatlah, semoga Baginda sudi menerima kita di saat ingin melangkah ke syurga nanti.




Read more...

Melihat siapa mad'u kita.

Menjadi satu kemestian kepada seseorang pendakwah untuk menilai dengan bijak tahap mad'u yang mereka hadapi. Saya cuba fahami apa yang saya baca semoga boleh dikongsikan dengan baik kepada sahabat-sahabat yang turut sama berjalan bersama saya. Hari ini, semakin kita mengenali masyarakat, semakin luas skop tuntutan kita terhadap mereka. Tuntutan kita untuk membantu, menghulurkan sebaik mungkin pertolongan, beringat mana yang kurang, berpesan mana yang songsang dan yang paling penting untuk sama-sama membuat kebaikan.

Setiap orang yang kita jumpa, pasti berbeza nilai ilmunya. Demikian itu, berbeza pula tahap pemikirannya. Akhirnya sudah tentu pendekatan kita untuk mendekati dan bersahabat dengannya menjadi titik tolak kita supaya tidak berlaku salah faham dan percanggahan pendapat. Pentingnya nilai tafahum dalam masyarakat bukan untuk menilai dan merendah-rendahkan mereka, sebaliknya supaya kita kenal dan hormat pemikiran mereka yang mungkin jauh berbeza dengan kita. Bermula dengan latar belakang agama, keluarga dan pendidikan, semuanya membawa kesan kepada tutur hatinya dan cara ideanya dijana.

Islam menyuruh kita supaya mengenali pendakwah bahkan pendakwah juga perlu mengenali orang yang didakwah supaya tidak timbul percanggahan pada apa yang ingin isampaikna. Lebih buruk apabila berhadapan dengan orang yang kurang faham, kemudiannya membuat hukum sendiri berdasarkan kepentingan peribadi. Situasi ini perlu dijaga supaya tidak merosakkan medan dakwah dan penyampaian ilmu kepada mereka yang berhak.

Jangan disalaherti apa yang ingin saya sampaikan, bukanlah seruan untuk menyembunyikan ilmu, jauh sekali mengajar umat supaya menyempitkan pemikiran, sebaliknya hanya berpendapat supaya keharmonian dan disiplin ilmu islam lebih terjaga.

Berkata Imam as-Syatibi:
"Bukanlah setiap perkara yang diketahui dituntut agar disebarkan walaupun ia dari ilmu syara' yang memberi info hukum. Dari itu, dibahagikan:
  • Ada yang dituntut agar disebarkan iaitu ilmu syara' yang dianggap biasa.
  • Ada yang tidak dituntut untuk disebarkan secara total kerana berdasarkan waktu atau individu tersebut.
Jika ilmu demikian diajarkan kepada mereka yang belum faham, pasti akan memberi impak berupa fitnah seperti mana yang telah diterangkan. Penyebaran ilmu seperti ini dilarang sama sekali"

Kini jelas terbukti, timbulnya fitnah apabila orang awam didedahkan dengan pemasalahan hukum yang halus. hakikatnya mereka belum layak didedahkan dengan perkara sedemikian. Khilaf-khilaf yang tidak sepatutnya didedahkan umum menjadi hujah orang awam menolak hukum yang telah jelas disepakati oleh ulama' yang lebih muktabar.

Ibnu Abbas meriwayatkan pesanan supaya berjaga-jaga memberikan ilmu agar ia tidak menjadi fitnah kelak.
"Tiada engkau berkata-kata dihadapan satu kaum dengan ilmu yang belum dapat difahami oleh mereka, kecuali perkara itu menjadi fitnah bagi sebahagian mereka"

Daripada Saidina Ali Karramallahu wajhah berkata:
Hendaklah kamu bercakap dengan manusia dengan barang yang mereka faham. Apakah kamu suka bahawa Allah dan rasulNya didustakan orang" (H.R Bukhari)

Indahnya ilmu islam telah disusun rapi oleh alim ulama'. Peringkat-peringkat yang ada tidak boleh dijangkau sesuka hati sehingga membelakangkan disiplin ilmu yang ada. Jika kita berhadapan dengan golongan awam yang masih belum bersedia didedahkan dengan khilaf-khilaf ulama', maka apa gunanya kita hidangkan mereka dengan perbahasan tentang percanggahan pendapat antara ulama' mujtahidin? Jika prinsip serta ciri-ciri mazhab fiqh pun masih belum jelas, bermakna mereka masih belum layak didedahkan dengan khilaf fiqh.

Kesannya, akan lahir gejala yang merendah-rendahkan pendapat ulama' bahkan pendapat dalam mazhab sendiri pun menerima kesan untuk ditolak. Akhirnya timbullah sangkaan bahawa pengamalan dalam islam boleh dipilih-pilih sesuka hati tanpa memahami sejarah, punca dan garis panduan khilaf dalam kalangan ulama' itu sendiri.

Ini yang cuba saya faham. Masalah dalam berhadapan dengan khilaf perlu dititikberatkan supaya kita tidak menimbulkan sebarang fitnah kepada ilmu agama bahkan kepada agama kita sendiri. Sedangkan Imam as-Syafie pun menghormati pendapat mazhab lain, apatah lagi kita yang hanya mengikut hukum yang sudah ada dan telah disepakati oleh para ulama'. Semoga kefahaman kita tentang khilaf ini membuka jalan yang lebih luas untuk kita meneruskan agenda di medan dakwah ini. Siiru ala barakatillah.

Read more...

Saat imtihan mengajar pengorbanan

Hari ini, selesai satu lagi madah peperiksaan akhir semester 3 saya. Daripada 9 kertas, kini hanya berbaki 3. Lagi tinggal suku perjalanan untuk tiba ke garisan penamat fatrah peperikasaan kali ini. Semester 3 bukanlah seperti yang dilalui pada semester-semester lepas. Kali ini lebih tough, lebih mencabar. Walaubagaimanapun, itulah hakikat yang mesti saya tempuhi.

3 hari lagi, subjek pathologi menanti giliran. Subjek yang berkisar tentang penyakit-penyakit ini perlu dihadamkan semuanya dalam masa yang terdekat. Silibus yang agak banyak pada sem ini memang tidak dapat dinafikan,mungkin sempat untuk dihabiskan dalam tempoh 3 hari ini dan tidak mustahil juga tidak sempat sekiranya diri dimanjakan dengan perasaan malas. Nauzubillah. Semoga Allah memberi semangat dan menjauhkan diri daripada sifat malas serta sifat-sifat mazmumah yang lain.

Begitulah hakikat seorang pelajar perubatan, masa begitu berharga, pada bila-bila masa saja, setiap saat itu ada nilainya. Namun saya tidak menafikan hakikat masa bagi pelajar-pelajar yang mengambil jurusan-jurusan lain, semuanya ada kesempitan dan kelapangannya. Cuma apa yang berbeza adalah dari segi kepenggunaan masa itu sendiri. Pengurusan masa yang cemerlang antara bahan motivasi penting bagi seorang pelajar perubatan apatah lagi bagi pelajar Fakulti saya sendiri yang sangat berbeza sistemnya jika dibandingkan dengan Fakulti-Fakulti Perubatan universiti lain di bumi Mesir ini. Subjek yang 2 kali ganda lebih banyak begitu melimitkan masa yang ada.


Hari ini memang terkesan dengan penat dan mengantuk hasil daripada 2 minggu dijamu dengan peperiksaan. 2minggu ini jugalah tidak dapat melelapkan mata dengan lena. Namun saya terima sebagai laluan saya untuk menempuh peperiksaan. Kecemerlangan memerlukan pengorbanan masa dan begitu jugalah bagaimana masa itu dimanfaatkan untuk urusan-urusan lain. Bukan sekadar dengan buku semata-mata bahkan orang yang cemerlang sangat bijak membahagikan masa untuk meletakkan ruangan tawakkal kepada Allah sebagai tempat berserah. Selagi mana ruangan belajar tidak mengganggu waktu-waktu ibadah, teruskan tetapi jika berlaku sebaliknya, berwaspadalah dibimbangi hilang berkat ilmu dalam diri kita. Inilah pesan saya untuk diri sendiri.

Sahabat Nabi yang bernama Abu Zar pernah bertanya kepada nabi berkaitan dengan isi-isi yang terdapat di dalam suhuf nabi Ibrahim. Baginda menjawab:

"(Antara isinya ialah) Bagi individu berakal dan waras pemikirannya, hendaklah dia membahagikan masa kepada beberapa waktu:
  1. Saat untuk bermunajat kepada Allah.
  2. Saat untuk muhasabah diri.
  3. Saat untuk bertafakur tentang penciptaan Allah.
  4. Saat untuk mencari keperluan makan minum.
Seseorang yang berakal hendaklah jangan memberikan tumpuan melainkan kepada 3 perkara ini:
  1. Bekalan untuk akhirat
  2. bekalan untuk kehidupan di dunia
  3. bersuka-suka dalam perkara yang tidak diharamkan.
Seseorang yang berakal hendaklah peka dengan suasana zamannya, berhati-hati dalam tindakannya serta menjaga lidahnya. Mereka yang mengutamakan amalan daripada percakapan tidak akan berkata-kata melainkan dia dalam perkara yang perlu."

Hadis ini diceritakan oleh Imam Ibnu Hibban dan al-Hakim dengan sanad yang soheh.

Indahnya islam, segala sesuatu sengat dititikberatkan. Soal masa, kita sangat beruntung kerana masih lagi diberi nikmat keamanan dan ketenangan. Masih mampu meluangkan masa untuk apa sahaja aktiviti yang kita ingin lakukan. Menuntut ilmu dengan tenang, beribadat tanpa halangan dan banyak lagi manfaat yang kita dapat amalkan. Semoga nikmat kelapangan masa ini berpanjangan untuk kita manfaatkan kepada kebaikan dan sama-samalah kita berlindung kepada Allah daripada fitnah masa yang menghumbangkan kita ke dalam lembah-lembah maksiat.


24 jam. Tiada tambahan.

Manusia yang hidup dimuka bumi ini semuanya dikurniakan kadar waktu yang sama dalam sehari. Semuanya 24 jam @ 1440 minit @ 86400 saat. Allah Maha adil, tidak melebihkan sesaat pun kepada orang-orang tertentu bahkan tidak pula mengurangkan walau sesaat kepada sesiapa sahaja. Semuanya sama. Apa yang beza bagaimana Allah memberi keberkatan waktu kepada hamba-hamba yang dikehendakiNya.


Sesungguhnya apa yang membezakan panjang pendek waktu ialah pada berkatnya. Kita akan merasa hilang nikmat kelapangan apabila hilangnya keberkatan pada waktu yang kita ada. Begitulah kesannya sehingga kita sendiri tidak sedar, kita tidak sempat untuk mengisi waktu yang kita ada dengan perkara-perkara kebaikan sehingga Allah menarik keberkatannya. Kenapa ada orang mampu menghabiskan sebiji buku dalam masa satu jam tetapi satu jam tetap tidak cukup untuk kita turut menghabiskan buku yang sama.

Sama-sama kita fikirkan supaya waktu-waktu yang kita ada tidak sesekali diisi dengan perkara-perkara yang sia-sia.

Imam Tirmizi dan Ibnu Majah menceritakan sabda nabi yang bermaksud "Antara tanda kebaikan islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya"


::Luangkanlah masa untuk perkara-perkara kebaikan sebelum ianya diisi dengan keburukan::

Read more...

Untuk difikirkan..

Masih di zone peperiksaan. Doa-doakan semoga semuanya menatijahkan kecemerlangan.

"Berpenat lelahlah kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kesusahan, janganlah berdukacita kerana hidup ini meletihkan kerana demikianlah hidup ini diciptakan"-Imam as-Syafie.

Sekadar renungan:

"Arnab yang perlahan, berlumba hanya dengan angan-angan tidak mustahil untuk tewas dengan kura-kura yang sedang memecut pantas."

Read more...

Semarak Perjuangan...

PERUBATAN Caw. Iskandariah

PERUBATAN Caw. Iskandariah
Laman Rasmi PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Forum Perbincangan PCI

Forum Perbincangan PCI
Forum Perbincangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Keluarga Penuntut Terengganu

Keluarga Penuntut Terengganu
Laman Rasmi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT)

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP