Followers

Baitul Maqdis: Isra' Mi'raj dan Sirah Nabi Musa

Hari ini, bersungguh sekali khatib berkhutbah, lantang menyampaikan isi-isi khutbah kepada sidang jemaah. Suara kesungguhan khatib yang penuh semangat itu sedikit sebanyak mengetuk hati-hati pendengar apatah lagi apabila khatib mengisahkan kisah yang banyak berkisar tentang sirah nabi Musa dan Firaun. Kena dengan nagara Mesir sebagai sejarah tempatan mereka. Banyak ayat yang dibaca sebagai dalil yang jelas lagi nyata seperti yang disebut oleh Allah dalam al-Quran dan diulang-ulang dalam surah-surah yang berbeza.

Kisah Nabi Musa juga berkait rapat dengan Baitul Maqdis bila mana baginda Nabi Musa menyuruh ummatnya memasuki negeri itu atas arahan daripada Allah sendiri. Namun ummatnya ingkar tidak mahu memasuki negeri itu sebagaimana Firman Allah dalam surah Al-Maidah:
Hai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestina) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari kebelakang (karena takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi. (Surah al-Maidah:21)
Mereka berkata: "Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar daripadanya. Jika mereka ke luar daripadanya, pasti kami akan memasukinya." (al-Maidah:22)
Panjang huraian khatib hari ini yang mengaitkan pula kisah Baitul Maqdis dengan peristiwa Isra' Mikraj. Ayat pertama surah al-Isra' menjadi dalil nyata menyebut berlakuya peristiwa ini tanpa perlu diragu lagi apatah lagi dinafi.
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Isra':1)
Peristiwa Isra' Mi'raj mesti dijadikan pengajaran terbaik untuk kita hayati sebagai bekalan bagi hati kita yang kian mati. Allah menjemput Baginda Nabi Muhammad ke langit dengan kenderaan yang istimewa mempunyai terlalu banyak hikmah, bukan hikmah untuk Nabi sahaja bahkah hikmah istimewa untuk para sahabat dan juga ummat kesayangan Baginda selepas baginda wafat.

Saya begitu tertarik dengan kisah Nabi Musa lantaran saya sendiri pernah menjejak kaki ke tempat-tempat sejarah berlakunya peristiwa yang dicoretkan oleh Allah dalam al-Quran itu. Antaranya Banjaran Tiih yang ada sehingga hari ini dikatakan laluan perjalanan Nabi Musa bersama kaumnya ketika menuju ke Baitul Maqdis suatu ketika dahulu.

Firman Allah:
Allah berfirman: "(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu." (al-Maidah:26)
*'Banjaran Tiih' dinamakan sempena kalimah "yatiihuna" dalam ayat 26 tersebut.

Banyak lagi kesan peninggalan yang ada sebagai bukti sejarah kehidupan Nabi Musa yang masih kekal sehingga hari ini. Tidak tertulis agaknya untuk saya senaraikan kesemuanya di sini kecuali sedikit sebagai pengetahuan dan perkongsian bersama. 'Uyun Musa atau mata air Nabi Musa yang keluar daripada batu masih jelas bentuk rupanya sehingga sekarang. Bahkan diceritakan juga kepada saya semasa melawat tempat tersebut bahawa mata air yang keluar daripada batu tersebut terkadang juga mengalir pada hari ini. Wallahua'lam. Mukjizat agung Nabi Musa ini diceritakan dalam Al-Quran:
Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu". Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah rezki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerusakan. (Surah al-Baqarah:60)
Dan mereka Kami bagi menjadi dua belas suku yang masing-masingnya berjumlah besar dan Kami wahyukan kepada Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu!." Maka memancarlah dari padanya duabelas mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku mengetahui tempat minum masing-masing. Dan Kami naungkan awan di atas mereka dan Kami turunkan kepada mereka manna dan salwa. (Kami berfirman): "Makanlah yang baik-baik dari apa yang telah Kami rezkikan kepadamu." Mereka tidak menganiaya Kami, tapi merekalah yang selalu menganiaya dirinya sendiri. (Surah al-Aaraf:160)
Gunung Sinai tidak dilupa sebagai distinasi penting Nabi Musa. Baginda telah memilih Gunung Sinai sebagai tempat untuk bermunajat kepada Allah. Puncak gunung yang setinggi hampir 2.5 km itu cukup menggambarkan pengorbanan Baginda untuk sampai ke puncak sana. Bahkan dikisahkan juga bahawa terdapat pengikut baginda yang didatangi ajal semasa mendaki puncak tersebut. Bukan senang untuk mencapai kemanisan iman jika sekadar berusaha tanpa merasa sedikitpun dugaan dari Tuhan.
Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: "Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau." Tuhan berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) niscaya kamu dapat melihat-Ku." Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pingsan. Maka setelah Musa sadar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman." (al-Aaraf:143)
Segar kembali ingatan saya tentang kisah perjalanan Nabi Musa ini setelah diceritakan semula oleh Tuan Khatib hari ini. Sedikit sebanyak saya mampu tambah tentang sirah ini dengan informasi yang sedia ada dalam kotak memori saya disamping apa yang telah disebut oleh khatib dalam khutbah Jumaat tadi.

Mungkin khutbah hari ini dijadikan muqaddimah Isra' Mikraj oleh khatib sebelum mengulas panjang tentang peristiwa ini pada minggu hadapan. Semoga kisah Isra' Mikraj menjadi pengajaran yang benar-benar solid kepada kita apatah lagi isu Baitul Maqdis yang sedang dikuasai oleh Zionis Israel laknatullah semakin menjadi-jadi pada hari ini.

Semoga ibrah daripada sirah umat terdahulu menjadi pemangkin semangat kita untuk terus mempertahankan kesucian dan keselamatan Masjidil Aqsa yang merupakan masjid yang diangkat tinggi martabatnya oleh Allah SWT.

Read more...

Semarak Perjuangan...

PERUBATAN Caw. Iskandariah

PERUBATAN Caw. Iskandariah
Laman Rasmi PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Forum Perbincangan PCI

Forum Perbincangan PCI
Forum Perbincangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Keluarga Penuntut Terengganu

Keluarga Penuntut Terengganu
Laman Rasmi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT)

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP