Followers

Pertama sebelum Kedua


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.


Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak
bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan
suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi
lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi
rupa-rupanya… " Fatimah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah
dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?"
suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik
Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung
labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya
apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih
hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya
terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan
jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang
diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah
yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi.
Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang
membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di
hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi
hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon
suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama
yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang
menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi
hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun,
hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah
nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan
Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah
membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti
lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke
hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya
sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri
semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak
dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia
terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia
menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri
dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri
sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri
perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti
membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya
adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia
meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat
terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah
ditanya kepada Fatimah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan
silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang
tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun
kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah
yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak
kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa
dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu
mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa
Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar
berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini
sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja
dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi
pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta
sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,"
luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit
ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam
gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana
usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri
pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri
aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang
beg berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu
menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah
tersebut.

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah
jari Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"Perjuangan, " jawab Fikri.




___________________________________________________________________

# Sekadar sebuah perkongsian, moga Muslimah itu benar-benar muslimah, jangan hanya datang sekelumit dugaan atau ujian, Muslimah sudah melatah tidak tentu pasal. Jadilah Muslimah sejati. Begitu juga dengan Muslimin.

"Mahu dapat Isteri yang solehah, jadilah Muslimin yang soleh, begitu juga sebaliknya."



-Dipetik daripada iLuvIslam.com

Read more...

Semarak Perjuangan...

PERUBATAN Caw. Iskandariah

PERUBATAN Caw. Iskandariah
Laman Rasmi PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Forum Perbincangan PCI

Forum Perbincangan PCI
Forum Perbincangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Keluarga Penuntut Terengganu

Keluarga Penuntut Terengganu
Laman Rasmi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT)

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP