Followers
Muhasabah di Dunia Sebelum di Sana
Di dunia ini, hanya diberi sekali sahaja peluang untuk hidup, dan semuanya akan berakhir dengan kematian. Maka amat beruntunglah mereka yang memanfaatkan peluang tunggal ini dengan perbanyakkan ibadah dan amal kebaikan. Kemudian mereka menjauhkan diri daripada dosa dan kemaksiatan.
Adapun, mereka yang hidup dengan dosa dan kemungkaran, di akhirat kelak pasti akan merana penuh penyesalan, memohon merayu pada Tuhan agar dikembalikan semula ke dunia untuk menebus segala salah dan silap yang pernah dilakukan. Namun tika itu tiada lagi peluang kedua yang diberikan.
Hisablah diri sebelum dihisab di akhirat nanti. Timbanglah amalan sebelum ianya ditimbang di hadapan Tuhan.
Moga Allah ampunkan segala maksiat dan dosa pada diri ini.
Hebatnya tarbiah Baginda Nabi. Sahabat menjadi umat terhebat.
Pertama sebelum Kedua
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak
bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fatimah dengan
suara tersekat-sekat.
Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang
perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi
lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi
rupa-rupanya… " Fatimah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fatimah
dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?"
suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah' di sebalik
Fatimah yang dia kenal selama ini.
Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung
labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya
apabila memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih
hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya
terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan
jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang
diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah
yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi.
Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang
membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di
hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi
hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon
suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama
yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang
menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi
hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun,
hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.
Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah
nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan
Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah
membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti
lelaki lain.
Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke
hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya
sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri
semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak
dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia
terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia
menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri
dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri
sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri
perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti
membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya
adakah sama seperti Fatimah atau tidak?
Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia
meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat
terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah
ditanya kepada Fatimah.
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan
silu.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang
tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun
kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah
yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak
kerja dakwahnya selama ini.
Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa
dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu
mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa
Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar
berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini
sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja
dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi
pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta
sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,"
luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit
ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam
gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana
usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri
pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri
aktif dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang
beg berisi fail ditangannya.
Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu
menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah
tersebut.
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah
jari Fikri.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"Perjuangan, " jawab Fikri.
___________________________________________________________________
# Sekadar sebuah perkongsian, moga Muslimah itu benar-benar muslimah, jangan hanya datang sekelumit dugaan atau ujian, Muslimah sudah melatah tidak tentu pasal. Jadilah Muslimah sejati. Begitu juga dengan Muslimin.
"Mahu dapat Isteri yang solehah, jadilah Muslimin yang soleh, begitu juga sebaliknya."
-Dipetik daripada iLuvIslam.com
Baitul Maqdis: Isra' Mi'raj dan Sirah Nabi Musa
Kisah Nabi Musa juga berkait rapat dengan Baitul Maqdis bila mana baginda Nabi Musa menyuruh ummatnya memasuki negeri itu atas arahan daripada Allah sendiri. Namun ummatnya ingkar tidak mahu memasuki negeri itu sebagaimana Firman Allah dalam surah Al-Maidah:
Hai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestina) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari kebelakang (karena takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi. (Surah al-Maidah:21)
Mereka berkata: "Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar daripadanya. Jika mereka ke luar daripadanya, pasti kami akan memasukinya." (al-Maidah:22)Panjang huraian khatib hari ini yang mengaitkan pula kisah Baitul Maqdis dengan peristiwa Isra' Mikraj. Ayat pertama surah al-Isra' menjadi dalil nyata menyebut berlakuya peristiwa ini tanpa perlu diragu lagi apatah lagi dinafi.
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Isra':1)Peristiwa Isra' Mi'raj mesti dijadikan pengajaran terbaik untuk kita hayati sebagai bekalan bagi hati kita yang kian mati. Allah menjemput Baginda Nabi Muhammad ke langit dengan kenderaan yang istimewa mempunyai terlalu banyak hikmah, bukan hikmah untuk Nabi sahaja bahkah hikmah istimewa untuk para sahabat dan juga ummat kesayangan Baginda selepas baginda wafat.
Saya begitu tertarik dengan kisah Nabi Musa lantaran saya sendiri pernah menjejak kaki ke tempat-tempat sejarah berlakunya peristiwa yang dicoretkan oleh Allah dalam al-Quran itu. Antaranya Banjaran Tiih yang ada sehingga hari ini dikatakan laluan perjalanan Nabi Musa bersama kaumnya ketika menuju ke Baitul Maqdis suatu ketika dahulu.
Firman Allah:
Allah berfirman: "(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu." (al-Maidah:26)
Banyak lagi kesan peninggalan yang ada sebagai bukti sejarah kehidupan Nabi Musa yang masih kekal sehingga hari ini. Tidak tertulis agaknya untuk saya senaraikan kesemuanya di sini kecuali sedikit sebagai pengetahuan dan perkongsian bersama. 'Uyun Musa atau mata air Nabi Musa yang keluar daripada batu masih jelas bentuk rupanya sehingga sekarang. Bahkan diceritakan juga kepada saya semasa melawat tempat tersebut bahawa mata air yang keluar daripada batu tersebut terkadang juga mengalir pada hari ini. Wallahua'lam. Mukjizat agung Nabi Musa ini diceritakan dalam Al-Quran:
Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu". Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah rezki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerusakan. (Surah al-Baqarah:60)
Dan mereka Kami bagi menjadi dua belas suku yang masing-masingnya berjumlah besar dan Kami wahyukan kepada Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu!." Maka memancarlah dari padanya duabelas mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku mengetahui tempat minum masing-masing. Dan Kami naungkan awan di atas mereka dan Kami turunkan kepada mereka manna dan salwa. (Kami berfirman): "Makanlah yang baik-baik dari apa yang telah Kami rezkikan kepadamu." Mereka tidak menganiaya Kami, tapi merekalah yang selalu menganiaya dirinya sendiri. (Surah al-Aaraf:160)
Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: "Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau." Tuhan berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) niscaya kamu dapat melihat-Ku." Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pingsan. Maka setelah Musa sadar kembali, dia berkata: "Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman." (al-Aaraf:143)Segar kembali ingatan saya tentang kisah perjalanan Nabi Musa ini setelah diceritakan semula oleh Tuan Khatib hari ini. Sedikit sebanyak saya mampu tambah tentang sirah ini dengan informasi yang sedia ada dalam kotak memori saya disamping apa yang telah disebut oleh khatib dalam khutbah Jumaat tadi.
Mungkin khutbah hari ini dijadikan muqaddimah Isra' Mikraj oleh khatib sebelum mengulas panjang tentang peristiwa ini pada minggu hadapan. Semoga kisah Isra' Mikraj menjadi pengajaran yang benar-benar solid kepada kita apatah lagi isu Baitul Maqdis yang sedang dikuasai oleh Zionis Israel laknatullah semakin menjadi-jadi pada hari ini.
Semoga ibrah daripada sirah umat terdahulu menjadi pemangkin semangat kita untuk terus mempertahankan kesucian dan keselamatan Masjidil Aqsa yang merupakan masjid yang diangkat tinggi martabatnya oleh Allah SWT.
Makanlah, jangan pernah rasa kenyang!
Saya begitu tertarik apabila terbaca sebuah hadis Baginda SAW
"Manusia yang paling lapar ialah penuntut ilmu, dan orang yang kenyang dari kalangan mereka ialah mereka yang tidak mencari (ilmu)." [Jami' Saghir:192]Amat benar kata-kata baginda. Perumpamaan yang Nabi gunakan sangat menarik untuk difikirkan bahkan begitu tepat sekali untuk ummat sekarang yang semakin kenyang dengan ilmu yang baru sedikit mereka miliki. Terlalu mudah merasa cukup.
Orang alim ialah orang yang sentiasa merasa dirinya jahil. semakin bertambah ilmu, semakin dia tahu kefakiran dirinya. Namun sebaliknya kita begitu sombong setelah sehelai sehari menuntut ilmu sudah merasa puas dan hebat.
Bagaimana lazatnya ilmu
Seorang yang lapar sentiasa menganggap makanan dihadapannya itu sedap. Umpama seorang yang tersesat di tengah hutan tanpa menjamah sedikit pun makanan. Saat itu, tiada lagi deria rasa yang tidak sedap. semuanya menjadi penambah selera. Bahkan dia akan menjadi lebih gelojoh untuk segera memenuhi tuntutan perut.
Sepatutnya kita begitu di medan ilmu. Setiap kali menuntut ilmu, perlu menganggap seolah sedang dihidang dengan makanan kegemaran. Bahkan lebih sedap daripada itu. Orang yang bijak sedah tentu menikmati makanan kegemarannya dengan penuh nikmat dan lazat tanpa sedikit pun meninggalkan saki mahupun baki.
Bahkan orang yang lapar akan merasakan makanan yang banyak itu teramat sedikit. Perutnya perlu diisi lagi, semestinya lebih banyak daripada kadar yang biasa. Seumpama seorang yang berpuasa bertemu waktu berbuka.
Gelojoh menuntut ilmu sepatutnya lebih daripada itu. Hakikatnya kita sedang kelaparan dengan ilmu. Lihatlah dunia ini semuanya dimajukan dengan ilmuan barat. Ilmuan islam semakin hilang. Semakin futur ditengah jalan. Indah menikmati tanpa menyumbang. Bahkan rasa bangga dengan jasa ilmuan islam dahulu kala sedangkan diri sendiri semakin binasa.
Zalimnya kita.
Sungguh. Kita sentiasa berkira apabila perut kita berbunyi minta diisikan, lantas segera bertindak mencari nasi dan apa jua bahan makanan. Namun berlainan apabila akal kita yang meminta sedemikian. Tiada yang pernah menyahut untuk terus menafkahkannya dengan ilmu. Sungguh zalim kita kerana akal tidak diisi sebagaimana kita begitu mengambil cakna untuk mengisi ruangan perut.
Akal nikmat mulia untuk manusia.
Apabila kita ditanya "apakah yang membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lainnya?" Pasti semua akan menjawab AKAL lah yang sebagai titik pembeza. Tiada siapa yang tidak tahu jawapan kecuali orang yang telah kehilangan akalnya.
Akal itu bukan harta yang boleh dijual beli kerana ianya anugerah daripada Allah sendiri. Bukan seperti barang-barang yang bersifat metarial yang boleh diwarisi oleh orang yang mati. Jadi Allah berhak memberi dan menarik bila-bila masa sahaja nikmat akal kepada manusia. Ternyata memang kita selalu kene, banyak yang kita ingat kemudiannya lupa. Tidak pernah permanent di dalam kepala kerana kita sendiri tidak menghargai akal yang kita ada.
Saidina Ali pernah berkata:
"Apabila Allah ingin menghilangkan saesuatu nikmat daripada hambanya, yang mula-mula sekali ditarik balik oleh Allah ialah akalnya"
Saidina Ali tokoh ilmuan
Bukannya kita tidak tahu bahawa Saidina Ali sendiri merupakan Baabul Ilmi, pintu ilmu sedangkan Baginda Nabi pula sebagai kota ilmu. Rasulullah bersabda:
"Aku adalah kota ilmu, manakala Ali pula pintunya. maka barangsiapa yang inginkan ilmu maka hendaklah datang melalui pintunya (Ali)."
Tidak cukup sekadar itu, kebijaksanaan Saidina Ali telah mengangkat darjat beliau daripada sahabat-sahabat Nabi yang lain. Beliau merupakan ilmuan yang paling hebat dalam kalanagn sahabat Baginda sehingga dikurniakan al-Uzunu al-Wa'iyah (الأذن الواعية). Hal ini disebut dalam Surah al-Haaqah ayat 12.
Kurniaan Allah yang agung ini kepada Saidina Ali telah menjadikan beliau seorang yang begitu faqih dalam bidang ilmu. Saidina Ali berkata:
"Selepas peristiwa itu, aku tidak lagi lupa apa-apa yang aku dengar daripada Rasulullah"
Maka, sedarlah kita bahawa akal kita sebenarnya masih lapar. Ianya perlu diisi lagi dan lagi. Jangan rasa rugi kerana mendahulukan makanan akal daripada makanan jasmani kerana makanan akal sebenarnya punca kenyangnya jasad.
"Barangsiapa yang mencari ilmu maka Allah menjamin untuk mencukupkan rezekinya" (Hadis Riwayat al-Khatib)
Ingin kudalami kasih Baginda Nabi
Hari ini, taqwim hijri sudah mencapai angka 10 haribulan. bermakna, selang sehari dua lagi akan bertemu dengan ulang tahun kelahiran Baginda SAW. Sambutan maulud menjadi simbol kegembiraan kita untuk meraikan saat kelahiran baginda. Semalam, saya diperingatkan sekali lagi oleh pengarah program sambutan maulud untuk tolong carikan moderator forum. Alhamdulillah semuanya sudah selesai setelah hampir seminggu mencari.
Forum bersempena maulidur rasul kali ini bertajuk "Cintaku Cintamu". Saya cuma bersetuju dengan cadangan pengarah program. Mungkin mereka lebih tahu apa yang tersirat disebalik tajuk ini. Ataupun, mungkin pada sesi forum nanti akan diterangkan dengan lebih mendalam apa yang tersirat. Kita tunggu.
Saya semakin kurang sabar. Bukan ingin melepaskan perasaan yang bukan-bukan, tetapi tidak sabar menunggu tibanya saat ahli panel berhujah dan mengeluarkan pendapat. Alhamdulillah, berkat usaha dan semangat ahli jawatan pelaksana program, panel jemputan kali ini semuanya hebat-hebat. Bahkan dikenali ramai oleh pelajar-pelajar Malaysia satu Mesir. Seorang ustaz yang sedang mengambil master di Mansurah, al-Fadhil Ustaz Salman bin Maskuri yang juga turut terkenal dengan blog akhisalman. Seorang lagi sedang menjawat sebagai Pengerusi Persatuan PERUBATAN Cawangan Zagazig, Dr. Syamsul Bakri manakala ahli panel yang ketiga bernama Ustazah Nor Akmar, Mahasiswi tahun 4 usuluddin Universiti al-Azhar Iskandariah.
Cukup kagum saya melihat gerak kerja jawatankuasa pelaksana. Kalau saya yang berada ditempat mereka, mungkin ada kurangnya. Malu saya sebagai penasihat, terkadang tersindir rasanya apabila pengarah program memanggil 'big boss'. Saya tersenyum sedih, takut-takut tidak sempurna tugas saya sebagai penasihat program. Tidak banyak idea yang mampu saya sumbangkan. Saya cuba yang terdaya.
Selesai petang semalam, berbincang dengan pengarah, merongkap andai ada lopak-lopak yang perlu ditutup dalam gerak kerja pelaksanaan. Kadang-kadang bimbang juga takut-takut ada yang terlepas pandang,cacat program kerana leka sesuatu yang kecil, sangat merugikan. Harap-harap semuanya berjalan lancar.
Dulu ada yang mempertikai. Tidak perlu buat program-program maulud sebegini. Nabi tidak pernah buat. Bid'ah katanya. Saya tersenyum, hormat pada ilmunya. Hormat juga pada ijtihad ulama yang mengatakan ini tidak boleh. Tetapi tetap ada pendapat yang menyokong sambutan maulud ini sebagai bid'ah hasanah, tanda kita mengingati baginda. Saya ambil yang baik.
Menunggu intipati majlis
Bersempena menyambut kelahiran baginda, di sinilah cuba kita cungkil semangat-semangat khusus dalam mengamalkan sunnahnya bahkan suntikan semangat yang terkandung dalam sirah perjuangan hidup Baginda teramatlah banyak. Sekiranya ini baik, pasti Allah memandang mulia selagi tidak bertentangan dengan syariat. Kita tidak mengadakan pesta bukan-bukan, apatah lagi yang jelas menampakkan kecacatan islam sebaliknya mengadakan tazkirah-tazkirah yang menjurus khusus berkenaan Baginda kesayangan. Semoga Allah menambahkan lagi rasa cinta kita terhadap Baginda. Aku rindu padamu ya Rasulallah.
Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehingga dia mencintaiku lebih daripada dirinya sendiri, anaknya, keluarganya dan manusia keseluruhannya". (Riwayat Imam Ahmad, Imam Bukhari, Imam An-Nasai, Imam Muslim dan Imam Ibnu Majah)Selain Allah, tiada lagi yang layak mengatasi rasa sayang kita kepada Rasulullah. Bergembiralah, sesungguhnya Rasulullah sangat sayang kepada kita. Biarlah kenyataan ini sentiasa ada dalam hati kita agar kita sedar dan berusaha mempertahankan kasih kita kepada Baginda SAW. Namun begitu, kasih sayang Baginda kepada kita jauh lebih tinggi. Setiap kali ingin melelapkan mata pada waktu malam, Baginda sentiasa fikir dan risau akan ummat. Risau Baginda kerana terlalu 'caring' dengan ummat baginda sendiri. Lebih dari itu, saat nafas terakhir baginda, masih sempat baginda menyebut 'ummati'..'ummati'..'ummati'.. Tingginya cintamu pada ummatmu wahai Rasulallah.
Semoga kita dapat bersama-sama Baginda di sana nanti.
Sabda Baginda, "Barangsiapa yang menghidupkan sesuatu dari sunnahku, sesungguhnya aku dan dia di dalam syurga nanti seolah 2 jari(sangat berada dekat)"Bagaimana pula cinta kita terhadap Baginda? Sampaikah kita kepada martabat sayang dan cinta yang sebenar. Ataupun masih lagi ada dalam hati kita cebisan cinta yang melebihi cinta kepada Baginda. Beringatlah, semoga Baginda sudi menerima kita di saat ingin melangkah ke syurga nanti.
Melihat siapa mad'u kita.
Setiap orang yang kita jumpa, pasti berbeza nilai ilmunya. Demikian itu, berbeza pula tahap pemikirannya. Akhirnya sudah tentu pendekatan kita untuk mendekati dan bersahabat dengannya menjadi titik tolak kita supaya tidak berlaku salah faham dan percanggahan pendapat. Pentingnya nilai tafahum dalam masyarakat bukan untuk menilai dan merendah-rendahkan mereka, sebaliknya supaya kita kenal dan hormat pemikiran mereka yang mungkin jauh berbeza dengan kita. Bermula dengan latar belakang agama, keluarga dan pendidikan, semuanya membawa kesan kepada tutur hatinya dan cara ideanya dijana.
Islam menyuruh kita supaya mengenali pendakwah bahkan pendakwah juga perlu mengenali orang yang didakwah supaya tidak timbul percanggahan pada apa yang ingin isampaikna. Lebih buruk apabila berhadapan dengan orang yang kurang faham, kemudiannya membuat hukum sendiri berdasarkan kepentingan peribadi. Situasi ini perlu dijaga supaya tidak merosakkan medan dakwah dan penyampaian ilmu kepada mereka yang berhak.
Jangan disalaherti apa yang ingin saya sampaikan, bukanlah seruan untuk menyembunyikan ilmu, jauh sekali mengajar umat supaya menyempitkan pemikiran, sebaliknya hanya berpendapat supaya keharmonian dan disiplin ilmu islam lebih terjaga.
Berkata Imam as-Syatibi:
"Bukanlah setiap perkara yang diketahui dituntut agar disebarkan walaupun ia dari ilmu syara' yang memberi info hukum. Dari itu, dibahagikan:
- Ada yang dituntut agar disebarkan iaitu ilmu syara' yang dianggap biasa.
- Ada yang tidak dituntut untuk disebarkan secara total kerana berdasarkan waktu atau individu tersebut.
Kini jelas terbukti, timbulnya fitnah apabila orang awam didedahkan dengan pemasalahan hukum yang halus. hakikatnya mereka belum layak didedahkan dengan perkara sedemikian. Khilaf-khilaf yang tidak sepatutnya didedahkan umum menjadi hujah orang awam menolak hukum yang telah jelas disepakati oleh ulama' yang lebih muktabar.
Ibnu Abbas meriwayatkan pesanan supaya berjaga-jaga memberikan ilmu agar ia tidak menjadi fitnah kelak.
"Tiada engkau berkata-kata dihadapan satu kaum dengan ilmu yang belum dapat difahami oleh mereka, kecuali perkara itu menjadi fitnah bagi sebahagian mereka"
Daripada Saidina Ali Karramallahu wajhah berkata:
Hendaklah kamu bercakap dengan manusia dengan barang yang mereka faham. Apakah kamu suka bahawa Allah dan rasulNya didustakan orang" (H.R Bukhari)
Indahnya ilmu islam telah disusun rapi oleh alim ulama'. Peringkat-peringkat yang ada tidak boleh dijangkau sesuka hati sehingga membelakangkan disiplin ilmu yang ada. Jika kita berhadapan dengan golongan awam yang masih belum bersedia didedahkan dengan khilaf-khilaf ulama', maka apa gunanya kita hidangkan mereka dengan perbahasan tentang percanggahan pendapat antara ulama' mujtahidin? Jika prinsip serta ciri-ciri mazhab fiqh pun masih belum jelas, bermakna mereka masih belum layak didedahkan dengan khilaf fiqh.
Kesannya, akan lahir gejala yang merendah-rendahkan pendapat ulama' bahkan pendapat dalam mazhab sendiri pun menerima kesan untuk ditolak. Akhirnya timbullah sangkaan bahawa pengamalan dalam islam boleh dipilih-pilih sesuka hati tanpa memahami sejarah, punca dan garis panduan khilaf dalam kalangan ulama' itu sendiri.
Ini yang cuba saya faham. Masalah dalam berhadapan dengan khilaf perlu dititikberatkan supaya kita tidak menimbulkan sebarang fitnah kepada ilmu agama bahkan kepada agama kita sendiri. Sedangkan Imam as-Syafie pun menghormati pendapat mazhab lain, apatah lagi kita yang hanya mengikut hukum yang sudah ada dan telah disepakati oleh para ulama'. Semoga kefahaman kita tentang khilaf ini membuka jalan yang lebih luas untuk kita meneruskan agenda di medan dakwah ini. Siiru ala barakatillah.
Saat imtihan mengajar pengorbanan
3 hari lagi, subjek pathologi menanti giliran. Subjek yang berkisar tentang penyakit-penyakit ini perlu dihadamkan semuanya dalam masa yang terdekat. Silibus yang agak banyak pada sem ini memang tidak dapat dinafikan,mungkin sempat untuk dihabiskan dalam tempoh 3 hari ini dan tidak mustahil juga tidak sempat sekiranya diri dimanjakan dengan perasaan malas. Nauzubillah. Semoga Allah memberi semangat dan menjauhkan diri daripada sifat malas serta sifat-sifat mazmumah yang lain.
Begitulah hakikat seorang pelajar perubatan, masa begitu berharga, pada bila-bila masa saja, setiap saat itu ada nilainya. Namun saya tidak menafikan hakikat masa bagi pelajar-pelajar yang mengambil jurusan-jurusan lain, semuanya ada kesempitan dan kelapangannya. Cuma apa yang berbeza adalah dari segi kepenggunaan masa itu sendiri. Pengurusan masa yang cemerlang antara bahan motivasi penting bagi seorang pelajar perubatan apatah lagi bagi pelajar Fakulti saya sendiri yang sangat berbeza sistemnya jika dibandingkan dengan Fakulti-Fakulti Perubatan universiti lain di bumi Mesir ini. Subjek yang 2 kali ganda lebih banyak begitu melimitkan masa yang ada.

Hari ini memang terkesan dengan penat dan mengantuk hasil daripada 2 minggu dijamu dengan peperiksaan. 2minggu ini jugalah tidak dapat melelapkan mata dengan lena. Namun saya terima sebagai laluan saya untuk menempuh peperiksaan. Kecemerlangan memerlukan pengorbanan masa dan begitu jugalah bagaimana masa itu dimanfaatkan untuk urusan-urusan lain. Bukan sekadar dengan buku semata-mata bahkan orang yang cemerlang sangat bijak membahagikan masa untuk meletakkan ruangan tawakkal kepada Allah sebagai tempat berserah. Selagi mana ruangan belajar tidak mengganggu waktu-waktu ibadah, teruskan tetapi jika berlaku sebaliknya, berwaspadalah dibimbangi hilang berkat ilmu dalam diri kita. Inilah pesan saya untuk diri sendiri.
Sahabat Nabi yang bernama Abu Zar pernah bertanya kepada nabi berkaitan dengan isi-isi yang terdapat di dalam suhuf nabi Ibrahim. Baginda menjawab:
"(Antara isinya ialah) Bagi individu berakal dan waras pemikirannya, hendaklah dia membahagikan masa kepada beberapa waktu:Seseorang yang berakal hendaklah jangan memberikan tumpuan melainkan kepada 3 perkara ini:
- Saat untuk bermunajat kepada Allah.
- Saat untuk muhasabah diri.
- Saat untuk bertafakur tentang penciptaan Allah.
- Saat untuk mencari keperluan makan minum.
- Bekalan untuk akhirat
- bekalan untuk kehidupan di dunia
- bersuka-suka dalam perkara yang tidak diharamkan.
Seseorang yang berakal hendaklah peka dengan suasana zamannya, berhati-hati dalam tindakannya serta menjaga lidahnya. Mereka yang mengutamakan amalan daripada percakapan tidak akan berkata-kata melainkan dia dalam perkara yang perlu."
Hadis ini diceritakan oleh Imam Ibnu Hibban dan al-Hakim dengan sanad yang soheh.
24 jam. Tiada tambahan.
Manusia yang hidup dimuka bumi ini semuanya dikurniakan kadar waktu yang sama dalam sehari. Semuanya 24 jam @ 1440 minit @ 86400 saat. Allah Maha adil, tidak melebihkan sesaat pun kepada orang-orang tertentu bahkan tidak pula mengurangkan walau sesaat kepada sesiapa sahaja. Semuanya sama. Apa yang beza bagaimana Allah memberi keberkatan waktu kepada hamba-hamba yang dikehendakiNya.

Sesungguhnya apa yang membezakan panjang pendek waktu ialah pada berkatnya. Kita akan merasa hilang nikmat kelapangan apabila hilangnya keberkatan pada waktu yang kita ada. Begitulah kesannya sehingga kita sendiri tidak sedar, kita tidak sempat untuk mengisi waktu yang kita ada dengan perkara-perkara kebaikan sehingga Allah menarik keberkatannya. Kenapa ada orang mampu menghabiskan sebiji buku dalam masa satu jam tetapi satu jam tetap tidak cukup untuk kita turut menghabiskan buku yang sama.
Sama-sama kita fikirkan supaya waktu-waktu yang kita ada tidak sesekali diisi dengan perkara-perkara yang sia-sia.
Imam Tirmizi dan Ibnu Majah menceritakan sabda nabi yang bermaksud "Antara tanda kebaikan islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya"
::Luangkanlah masa untuk perkara-perkara kebaikan sebelum ianya diisi dengan keburukan::
Read more...
Untuk difikirkan..
Masih di zone peperiksaan. Doa-doakan semoga semuanya menatijahkan kecemerlangan.
"Berpenat lelahlah kerana sesungguhnya kesenangan itu selepas kesusahan, janganlah berdukacita kerana hidup ini meletihkan kerana demikianlah hidup ini diciptakan"-Imam as-Syafie.
Sekadar renungan:
"Arnab yang perlahan, berlumba hanya dengan angan-angan tidak mustahil untuk tewas dengan kura-kura yang sedang memecut pantas."Read more...
Sehingga Hari Ini
Blog ini terbiar lagi. Jutaan kemaafan dipinta daripada tetamu-tetamu yang bertandang kerana tidak mampu menghidangkan saudara dengan jamuan-jamuan yang baru lagi segar. Saya juga bertambah gusar apabila gagal menghidupkan blog ini dengan kadar yang sepatutnya bahkan tidak juga meletakkan blog ini dalam keadaan yang sentiasa terisi.
Saya gagal lagi apabila membiarkan post saya yang berkenaan dengan ketamadunan islam tidak mampu disambungkan. Bahkan sebenarnya saya berhasrat untuk memanjangkan lagi post berkenaan. Topik yang berkaitan dengan ketamadunan islam ini sebenarnya bagus untuk dipanjangkan dan dihurai dengan lebih jelas. Suka saya untuk bercakap tentang tamadun memandangkan tamadun kita hari ini jauh telah hancur jika dibandingkan dengan kegemilangan tamudan agama kita pada suatu masa dahulu. Maka amat rugilah jika kita sedikitpun tidak mengambil pengajaran daripada apa yang telah tercatat dalam sejarah islam sebagai batu asas untuk kita membina kembali ketamadunan yang kian roboh.

Saya sedih apabila kadang-kadang melihat remaja hari ini jauh terpinggir bahkan ramai juga yang sendiri meminggirkan diri daripada lunas-lunas islam yang sepatutnya ditepati untuk kemaslahatan agama bahkan diri sendiri juga. Tetapi sebaliknya kehidupan kita hari ini seolah-olah membuktikan lagi betapa mundurnya tamadun kita, hilang kematangan diri yang akhirnya tersungkur akibat terlalu terpengaruh dengan anasir-anasir yang 'membunuh jiwa sendiri'.
Walaubagaimanapun, topik ini banyak mendatangkan manfaat kepada kita terutamanya kepada diri saya sendiri untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang tamadun dan perkembangan agama kita dari dahulu hinggalah sekarang. Adakah graf kemajuan ummat islam menunjukkan kesimpulan yang positif? Ataupun negatif? Ataupun sekata tanpa perubahan? Jawapannya perlu dicari. Semoga kita sedar sejauh mana kehebatan kita pada hari ini yang sering kita banggakan. Jangan kita selesa pada kehebatan yang hanya terbina di atas angin tanpa berpijak pada realiti.
Hijrah ilallah
Salam Maal Hijrah. Salam Awal Muharam. Salam Perubahan.
Ucapan-ucapan yang lazim keluar diucapkan tatkala tibanya tahun baru hijrah. Apa makna di sebalik kalimah-kalimah ini. terkadang kita hanya menganggap kalimah-kalimah ini sebagai ucapan semata-mata. Terkadang nyata ianya menjadi adat sahaja apabila 1 muharam menjelma. Itulah ragam kita apabila jauh daripada penghayatan di mana letaknya erti penghijrahan Baginda dan sahabat-sahabat r.a. 1430 tahun dahulu.
Namun, apa jua pemikiran manusia, kita perlu sedar. Kita perlu cari setiap apa yang tersirat dari apa yang baginda SAW harapkan daripada umat akhir zaman ini. baginda tidak lagi mengharapkan kita berhijrah dari Mekah ke Madinah sebagaimana baginda lakukan. Nyata dalam sabda baginda tiada lagi hijrah selepas peristiwa tersebut. Bukan juga perpindahan dari mana-mana tempat ke mana-mana tempat di bumi ini walaupun bukan dari Mekah. Tiada lagi makna hijrah yang membawa erti perpindahan.
Jadi apa pula yang dimaksudkan dengan hijrah yang boleh diaplikasikan oleh kita pada hari ini? Saya yakin dan percaya secara optimisnya tiada lagi sahabat-sahabat saya di sini yang masih kabur dengan makna hijrah ini. sekiranya ditanya kepada semua orang, saya jamin setiap jawapan yang diberikan bukan sekadar betul bahkan berpotensi besar adalah TEPAT.
Cuma yang perlu ditekankan dalam kontek hijrah hari ini ialah pada aplikasi kita. Di mana kita meletakkan sasaran hijrah itu. Sejauh mana kita boleh hijrahkan jiwa kita menjadi lebih baik, bahkan menjadi yang terbaik. Persoalan inilah yang menjadi punca ramai akan mengiling kepala. Sukarnya untuk mengukir sebuah PERUBAHAN.
Saban tahun kita di ingatkan dengan peristiwa hijrah. Tiap-tiap tahun kita dikisahkan dengan plot penceritaan, isi-isi dan persoalan yang sama tentang peristiwa bersejarah ini. namun, tahun demi tahun, kesan yang mampu dilihat seolah-olah tidak berubah. Azam yang bersungguh-sungguh dipasakkan seolah tumbang begitu sahaja ditiup angin masa. Layu tatkala gelombang leka dengan dunia melanda. Seolah-olah azam yang sering dikaitkan dengan pengorbanan nabi itu hanya sebagai propaganda kosong sempena menyemarakkan sambutan maal hijrah setiap tahun. Kesal kadang-kadang gagal menghitung keuntungan amalan dalam buku catatan 1430.
Semakin kita matang, bawalah pemikiran ini lebih ke hadapan. Tajamkan pemikiran dengan lunas-lunas perjuangan dan pengorbanan sebagaimana baginda telah contohkan. Jelas, baginda ingin melihat umat akhir zaman pandai mengqiaskan maksud ‘hijrah’ untuk membawa angin perjuangan ke arah yang lebih baik. Binalah strategi baru sebagaimana baginda memperbaharukan strategi dakwah apabila berhadapan dengan penduduk Madinah yang berbeza dengan penduduk Mekah.
Kita hari ini, kebanyakannya diuji oleh propaganda barat yang sangat halus dan licik. Kita tidak dirasa dengan serangan fizikal seperti di Palestine dan sebagainya, tetapi hakikatnya serangan itu tetap ada untuk menhancurkan jiwa-jiwa hambanya daripada terus menghadap ke qiblat dengan hati yang khusyuk dan sejahtera. Dengan itulah, hijrah kita pada hari ini bukan juga hijrah dari sudut fizikal, bahkan hijrah rohani yang masih dikotori oleh jentera-jentera yahudi dan nasrani. Tabiat terlalu dihibur dengan keseronokan dunia seolah menjadi katil dan bantal umat islam yang menambahkan lena kita dalam keasyikan dunia. Di mana perlu kita letakkan segala-gala perubahan ini?
Maka amat beruntunglah mereka yang mampu mengawal diri daripada segala pengaruh nafsu dunia ini dan berubah menjadi lebih baik daripada semalam. Islam dari dahulu lagi mengingatkan umatnya berubah. Berubahlah dangan ilmu yang Allah beri. Hitung diri di mana letaknya kita pada hari ini. sudah banyakkah kita mengikhlaskan pengorbanan untuk islam? Sejauh mana kita sanggup manjadi rantai yang akan menyambung salasilah pengobanan Nabi? HIJRAH itu akan menjadi indah sekiranya kita sendiri yang pandai menghidupkan suasananya dalam kala umat sedang terhumbang ke lembah kebinasaan. Jadi, ayuh sama-sama kita menyahut seruan hijrah ini, mengubah diri untuk mengubah ummat.
~Salam Maal Hijrah~
Tamadun Islam Terus Pesat
Seorang penulis eropah pernah mengatakan bahawa pakar-pakar sejarah islam berjaya mengatasi ahli-ahli sejarah yang lain. Mereka mampu menggabungkan ilmu-ilmu alam dan sejarah dengan ikatan yang erat. Pengiktifaran ini merupakan satu kebesaran buat pengkaji ilmu-ilmu islam sekaligus menzahirkan kehebatan ilmu islam bukan sekadar berkisar dalam skop agama dan dakwah semata-mata. Maka tidak hairanlah Ibnu Khaldun juga bergelar seorang tokoh yang hebat dalam mengkaji ilmu sejarah islam ini.
Daripada ilmu sejarah inilah, ummat islam pada hari ini perlu berasa bersyukur kerana menerima manfaat yang amat banyak daripada catatan pangkaji-pengkaji dan ulama’ terdahulu. Tanpa bidang sejarah ini, mana mungkin kita pada hari ini mampu mengenal tokoh-tokoh agama yang bertungkus lumus menghias agama Allah ini dengan ketamadunan yang cantik dan tersusun rapi.
Bukan sekadar ilmu sejarah, bahkan tercatat juga perkembangan yang pesat dalam banyak lagi cabang ilmu dalam rekod ketamadunan islam suatu ketika dahulu. Bahkan, Iskandariah juga telah menjadi pusat atau markaz kebudayaan Yunani dalam usaha untuk mengukuhkan dan memartabatkan semula ketamadunan islam. Dalam ilmu perubatan, pemerintahan kerajaan Umawi telah banyak menyusun buku-buku yang telah diterjemahkan daripada bahasa Yunani kepada bahasa Arab. Kemudian usaha untuk menghimpun ilmu-ilmu ini digiatkan lagi pada zaman pemerintahan Khalifah Abassiah. Sememangnya ilmuan-ilmuan arab tidak teragak-agak untuk menimba ilmu daripada semua tamadun yang mereka temui. Inilah sebahagian daripada pencetus kemajuan tamadun islam sehingga menjadi suatu tamadun yang tersohor ketika itu.
Jika disingkapkan lagi perjalanan sejarah islam, sudah tentu akan menjadi terlalu panjang memandangkan zaman pemerintahan khalifah islamiyah suatu ketika dahulu telah berjaya menunjukkan kegemilangan islam sehingga menggerunkan ketamadunan Barat. Hakikatnya, empayar Uthmaniyah sendiri telah berjaya melahirkan tokoh pemimpin agung seperti Sultan Muhammad al-Fatih. Pada tahun 1453 M, beliau berjaya menakluki Kota Constantinople bersama-sama dengan 150 000 orang tentera. Ketika itu, beliau hanya berumur 21 tahun tetapi telah mampu menakluk Constantinople bahkan beliau telah menggunakan teknologi senjata yang belum pernah lagi digunakan oleh orang lain ketika itu. Sehingga akhirnya, kota itu jatuh juga ke tangan orang Islam.
Aplikasinya, sejuah mana kita telah mengimbas ke medan sejarah islam dahulu? Mampukah kita mencontohi ketokohan mereka? Mungkinkah akan lahir semula jiwa-jiwa seperti Sultan Muhammad al-Fatih pada hari ini?
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu yang akan mengubahnya sendiri” (ar-ra’d:11)
Iktibar daripada sirah dan sejarah islam sebenarnya ibrah yang paling berharga untuk kita menghitung semula ketamadunan kita pada hari ini. Adakah dengan hancurnya Khalifah Islamiyah itu bermakna pemerintahan islam selamanya musnah? Selemah mana pun kita hari ini, kewajipan itu tidak akan gugur untuk menyedarkan semula ummat yang sedang asyik dilamun cinta dunia, lena didodoi kemewahan harta bahkan masih lagi mabuk dengan maksiat yang tiada lagi batasan syariat.
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (ali-Imran:104)
::Allah muliakan insan dengan Taqwa,darjat diangkat kerana Taqwa, jadi janganlah kamu muliakan aku dengan banyaknya harta, sempurna paras rupa sekalipun pandai berkata-kata kerana itu hanya membutakan hatiku untuk terus menilai erti takutkan Pencipta. Sebaliknya, pimpinlah aku ke jalan taqwa andai diriku dilambung leka::
Bukti Ketamadunan Islam
Keagungan tamadun islam suatu ketika dahulu sangat jelas membuktikan bahawa islam bukanlah satu agama yang mundur, tidak mudah diperlekehkan apatah lagi untuk dipermainkan. Kekuatan yang ada pada pemimpin-pemimpin islam sentiasa dikagumi rakyat bahkan dikagumi oleh musuh-musuh islam yang sentiasa dan tidak pernah leka untuk hancurkan islam.
Bermula daripada zaman Rasulullah, ketamadunan islam yang baru kini bermula setelah gelap gelita sebelum turunnya wahyu yang pertama. Zaman jahiliyah memang membuktikan segala-galanya bahawa zaman itu kehidupan umat manusia kucar-kacir, gelap zulumat seolah-olah bulan dan matahari sedikit pun tidak kelihatan, apatah lagi untuk melihat bintang. Tidak ada sedikit pun cahaya yang mampu menunjukkan jalan memperbetulkan langkah ummat.
Akhirnya, wahyu yang pertama diturunkan. Tidak semudah kita menerima ilmu pada hari ini, bahkan baginda SAW ketika itu diserang pelbagai perasaan. Baginda menggigil kesejukan walaupun peluh mengalir pada badan baginda seolah-olah dalam ketakutan. Kedatangan Jibril a.s memeluk baginda sehingga sukar untuk bernafas. Dipaksa pula baginda untuk melafazkan wahyu pertama sedangkan baginda yang ummi itu sedikit pun tidak pandai untuk membaca. “Ma ana biqarie”(aku tidak pandai membaca). Diulangnya 3 kali oleh Jibril a.s sehinggalah akhirnya baginda menuturkan dengan berat sekali. Pulanglah baginda pada malam itu dengan wahyu tersebut. Hanya gua’ hira yang menjadi saksi betapa sukarnya baginda menerima menunjukkan betapa beratnya amanah yang akan dipikul oleh baginda untuk membawa rahmat kepada sekalian ummat manusia.
Sepayah perjalanan nabi, tiada yang dapat menandingi perjuangan baginda. Dicemuh,dicaci,dihina itu menjadi perkara biasa. Itulah sebenar-benar perjuangan. Allah telah menguji para nabi dan para rasul dengan ujian yang tidak dirasa oleh golongan-golongan lain.
“Seberat-berat ujian kepada manusia ialah untuk para nabi, kemudian golongan selepas itu dan selepas itu”. Begitu jelas baginda bersabda. Bermula daripada kelahiran sehinggalah kewafatan baginda, kehidupan manusia beransur-ansur berubah terutama pada bangsa arab itu sendiri. Kejayaan yang amat besar dikecapi baginda dalam mendidik bangsa itu dengan akhlak yang sangat mulia. Tidak hairanlah sehingga sekarang baginda mendapat gelaran ‘pemimpin terbaik dunia’. Masih tiada yang mampu menandingi kepemimpinan baginda. Saya yakin, pasti tidak akan ada.
Perjuangan baginda disambung semula oleh barisan khulafa’ ar-rasyidin kemudian kerajaan islam selepas itu. Umayyah, Abbasiyah dan Turki Uthmaniyah. Sejarah merakamkan bahawa bangsa arab menjadi perintis sebaik sahaja mereka keluar daripada semenanjung arab pada abad ke-7 masihi. Pada abad ke-11, tamadun islam mula melebarkan sayapnya ke Eropah barat. Penaklukan negara Sepanyol, perang salib serta hubungan yang baik dengan negara-negara timur tengah menjadi saluran penting perkembangan ini.
Perpecahan yang berlaku dalam masyarakat Sepanyol seolah membuka pintu kepada orang islam untuk menguasai tanah tersebut. Antara faktor utamanya ialah apabila seorang pemimpin negaranya bersama ketua pembesar agama kristian katolik telah menolong orang islam datang dan menawan Sepanyol. Dari situlah kekuatan islam terus dibina untuk menguasai negara Eropah yang lain. Kemajuan islam dan teknologi dibina. Orang islam ketika itu semakin cinta pada ilmu sehinggalah mereka menceburi pelbagai bidang seperti sains, kesusasteraan, kesenian dan sebagainya. Bahkan mereka sendiri mengumpul semula kitab-kitab dan membawa masuk ke Sepanyol. Ulama juga diundang untuk menjadi perintis Ilmu di sana. Begitulah usaha yang tidak putus-putus untuk memartabatkan islam suatu ketika dahulu.
...To be Continued...
"Ajarkan aku untuk membuatkn ummat ini gembira dan tersenyum, mampu mengubat luka ummat yang kini sedang parah dengan penyakit sosial,gelita dengan fitnah dunia, hanyut dengan kekayaan harta. Di mana murabbi-murabbi yang akan menjadi tabib kepada segala musibah yg sedang melanda............kalau bukan kita"








