Followers

Makanlah, jangan pernah rasa kenyang!

Menyebut kalimah kenyang, semua akan berfikir tentang makanan, perut yang telah terisi dengan bermacam rasa dan selera. Setiap yang hidup itu perlu diberi makanan. Mana mungkin sebuah kereta boleh bergerak tanpa diisi dengan minyak? Namun tidak ramai yang berfikir macam mana minda kita juga perlukan makanan sebagai mana perut memerlukan nasi dan air minuman!

Saya begitu tertarik apabila terbaca sebuah hadis Baginda SAW
"Manusia yang paling lapar ialah penuntut ilmu, dan orang yang kenyang dari kalangan mereka ialah mereka yang tidak mencari (ilmu)." [Jami' Saghir:192]
Amat benar kata-kata baginda. Perumpamaan yang Nabi gunakan sangat menarik untuk difikirkan bahkan begitu tepat sekali untuk ummat sekarang yang semakin kenyang dengan ilmu yang baru sedikit mereka miliki. Terlalu mudah merasa cukup.

Orang alim ialah orang yang sentiasa merasa dirinya jahil. semakin bertambah ilmu, semakin dia tahu kefakiran dirinya. Namun sebaliknya kita begitu sombong setelah sehelai sehari menuntut ilmu sudah merasa puas dan hebat.


Bagaimana lazatnya ilmu

Seorang yang lapar sentiasa menganggap makanan dihadapannya itu sedap. Umpama seorang yang tersesat di tengah hutan tanpa menjamah sedikit pun makanan. Saat itu, tiada lagi deria rasa yang tidak sedap. semuanya menjadi penambah selera. Bahkan dia akan menjadi lebih gelojoh untuk segera memenuhi tuntutan perut.

Sepatutnya kita begitu di medan ilmu. Setiap kali menuntut ilmu, perlu menganggap seolah sedang dihidang dengan makanan kegemaran. Bahkan lebih sedap daripada itu. Orang yang bijak sedah tentu menikmati makanan kegemarannya dengan penuh nikmat dan lazat tanpa sedikit pun meninggalkan saki mahupun baki.

Bahkan orang yang lapar akan merasakan makanan yang banyak itu teramat sedikit. Perutnya perlu diisi lagi, semestinya lebih banyak daripada kadar yang biasa. Seumpama seorang yang berpuasa bertemu waktu berbuka.

Gelojoh menuntut ilmu sepatutnya lebih daripada itu. Hakikatnya kita sedang kelaparan dengan ilmu. Lihatlah dunia ini semuanya dimajukan dengan ilmuan barat. Ilmuan islam semakin hilang. Semakin futur ditengah jalan. Indah menikmati tanpa menyumbang. Bahkan rasa bangga dengan jasa ilmuan islam dahulu kala sedangkan diri sendiri semakin binasa.



Zalimnya kita.

Sungguh. Kita sentiasa berkira apabila perut kita berbunyi minta diisikan, lantas segera bertindak mencari nasi dan apa jua bahan makanan. Namun berlainan apabila akal kita yang meminta sedemikian. Tiada yang pernah menyahut untuk terus menafkahkannya dengan ilmu. Sungguh zalim kita kerana akal tidak diisi sebagaimana kita begitu mengambil cakna untuk mengisi ruangan perut.


Akal nikmat mulia untuk manusia.

Apabila kita ditanya "apakah yang membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lainnya?" Pasti semua akan menjawab AKAL lah yang sebagai titik pembeza. Tiada siapa yang tidak tahu jawapan kecuali orang yang telah kehilangan akalnya.

Akal itu bukan harta yang boleh dijual beli kerana ianya anugerah daripada Allah sendiri. Bukan seperti barang-barang yang bersifat metarial yang boleh diwarisi oleh orang yang mati. Jadi Allah berhak memberi dan menarik bila-bila masa sahaja nikmat akal kepada manusia. Ternyata memang kita selalu kene, banyak yang kita ingat kemudiannya lupa. Tidak pernah permanent di dalam kepala kerana kita sendiri tidak menghargai akal yang kita ada.

Saidina Ali pernah berkata:
"Apabila Allah ingin menghilangkan saesuatu nikmat daripada hambanya, yang mula-mula sekali ditarik balik oleh Allah ialah akalnya"

Saidina Ali tokoh ilmuan

Bukannya kita tidak tahu bahawa Saidina Ali sendiri merupakan Baabul Ilmi, pintu ilmu sedangkan Baginda Nabi pula sebagai kota ilmu. Rasulullah bersabda:
"Aku adalah kota ilmu, manakala Ali pula pintunya. maka barangsiapa yang inginkan ilmu maka hendaklah datang melalui pintunya (Ali)."

Tidak cukup sekadar itu, kebijaksanaan Saidina Ali telah mengangkat darjat beliau daripada sahabat-sahabat Nabi yang lain. Beliau merupakan ilmuan yang paling hebat dalam kalanagn sahabat Baginda sehingga dikurniakan al-Uzunu al-Wa'iyah (الأذن الواعية). Hal ini disebut dalam Surah al-Haaqah ayat 12.

Kurniaan Allah yang agung ini kepada Saidina Ali telah menjadikan beliau seorang yang begitu faqih dalam bidang ilmu. Saidina Ali berkata:
"Selepas peristiwa itu, aku tidak lagi lupa apa-apa yang aku dengar daripada Rasulullah"
Begitu hebat Saidina Ali. Kehebatan beliau datang kerana tingginya cinta beliau terhadap ilmu. Kehidupan beliau sentiasa berdampingan dengan Rasulullah. Maka tidak mustahilah beliau menjadi begitu hebat tahap ilmunya.

Maka, sedarlah kita bahawa akal kita sebenarnya masih lapar. Ianya perlu diisi lagi dan lagi. Jangan rasa rugi kerana mendahulukan makanan akal daripada makanan jasmani kerana makanan akal sebenarnya punca kenyangnya jasad.
"Barangsiapa yang mencari ilmu maka Allah menjamin untuk mencukupkan rezekinya" (Hadis Riwayat al-Khatib)

Post a Comment

Semarak Perjuangan...

PERUBATAN Caw. Iskandariah

PERUBATAN Caw. Iskandariah
Laman Rasmi PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Forum Perbincangan PCI

Forum Perbincangan PCI
Forum Perbincangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Keluarga Penuntut Terengganu

Keluarga Penuntut Terengganu
Laman Rasmi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT)

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP