Followers

Ingin kudalami kasih Baginda Nabi

Hari ini saya cuba untuk menulis lagi. Esok, kertas terakhir untuk peperiksaan saya pada semester ini. Saya cuba juga untuk mencelah, berkongsi sedikit apa yang ada walaupun masa sekarang ini masih belum lapang sepenuhnya. Jika menunggu, belum pasti sampai bila akan bertemu dengan ruangan masa yang betul-betul lapang dan senang hatta waktu cuti pun tidak jamin berkesempatan untuk bersama blog ini. Moga Allah berkati masa-masa ini.

Hari ini, taqwim hijri sudah mencapai angka 10 haribulan. bermakna, selang sehari dua lagi akan bertemu dengan ulang tahun kelahiran Baginda SAW. Sambutan maulud menjadi simbol kegembiraan kita untuk meraikan saat kelahiran baginda. Semalam, saya diperingatkan sekali lagi oleh pengarah program sambutan maulud untuk tolong carikan moderator forum. Alhamdulillah semuanya sudah selesai setelah hampir seminggu mencari.

Forum bersempena maulidur rasul kali ini bertajuk "Cintaku Cintamu". Saya cuma bersetuju dengan cadangan pengarah program. Mungkin mereka lebih tahu apa yang tersirat disebalik tajuk ini. Ataupun, mungkin pada sesi forum nanti akan diterangkan dengan lebih mendalam apa yang tersirat. Kita tunggu.

Saya semakin kurang sabar. Bukan ingin melepaskan perasaan yang bukan-bukan, tetapi tidak sabar menunggu tibanya saat ahli panel berhujah dan mengeluarkan pendapat. Alhamdulillah, berkat usaha dan semangat ahli jawatan pelaksana program, panel jemputan kali ini semuanya hebat-hebat. Bahkan dikenali ramai oleh pelajar-pelajar Malaysia satu Mesir. Seorang ustaz yang sedang mengambil master di Mansurah, al-Fadhil Ustaz Salman bin Maskuri yang juga turut terkenal dengan blog akhisalman. Seorang lagi sedang menjawat sebagai Pengerusi Persatuan PERUBATAN Cawangan Zagazig, Dr. Syamsul Bakri manakala ahli panel yang ketiga bernama Ustazah Nor Akmar, Mahasiswi tahun 4 usuluddin Universiti al-Azhar Iskandariah.

Cukup kagum saya melihat gerak kerja jawatankuasa pelaksana. Kalau saya yang berada ditempat mereka, mungkin ada kurangnya. Malu saya sebagai penasihat, terkadang tersindir rasanya apabila pengarah program memanggil 'big boss'. Saya tersenyum sedih, takut-takut tidak sempurna tugas saya sebagai penasihat program. Tidak banyak idea yang mampu saya sumbangkan. Saya cuba yang terdaya.

Selesai petang semalam, berbincang dengan pengarah, merongkap andai ada lopak-lopak yang perlu ditutup dalam gerak kerja pelaksanaan. Kadang-kadang bimbang juga takut-takut ada yang terlepas pandang,cacat program kerana leka sesuatu yang kecil, sangat merugikan. Harap-harap semuanya berjalan lancar.

Dulu ada yang mempertikai. Tidak perlu buat program-program maulud sebegini. Nabi tidak pernah buat. Bid'ah katanya. Saya tersenyum, hormat pada ilmunya. Hormat juga pada ijtihad ulama yang mengatakan ini tidak boleh. Tetapi tetap ada pendapat yang menyokong sambutan maulud ini sebagai bid'ah hasanah, tanda kita mengingati baginda. Saya ambil yang baik.


Menunggu intipati majlis

Bersempena menyambut kelahiran baginda, di sinilah cuba kita cungkil semangat-semangat khusus dalam mengamalkan sunnahnya bahkan suntikan semangat yang terkandung dalam sirah perjuangan hidup Baginda teramatlah banyak. Sekiranya ini baik, pasti Allah memandang mulia selagi tidak bertentangan dengan syariat. Kita tidak mengadakan pesta bukan-bukan, apatah lagi yang jelas menampakkan kecacatan islam sebaliknya mengadakan tazkirah-tazkirah yang menjurus khusus berkenaan Baginda kesayangan. Semoga Allah menambahkan lagi rasa cinta kita terhadap Baginda. Aku rindu padamu ya Rasulallah.
Daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehingga dia mencintaiku lebih daripada dirinya sendiri, anaknya, keluarganya dan manusia keseluruhannya". (Riwayat Imam Ahmad, Imam Bukhari, Imam An-Nasai, Imam Muslim dan Imam Ibnu Majah)
Selain Allah, tiada lagi yang layak mengatasi rasa sayang kita kepada Rasulullah. Bergembiralah, sesungguhnya Rasulullah sangat sayang kepada kita. Biarlah kenyataan ini sentiasa ada dalam hati kita agar kita sedar dan berusaha mempertahankan kasih kita kepada Baginda SAW. Namun begitu, kasih sayang Baginda kepada kita jauh lebih tinggi. Setiap kali ingin melelapkan mata pada waktu malam, Baginda sentiasa fikir dan risau akan ummat. Risau Baginda kerana terlalu 'caring' dengan ummat baginda sendiri. Lebih dari itu, saat nafas terakhir baginda, masih sempat baginda menyebut 'ummati'..'ummati'..'ummati'.. Tingginya cintamu pada ummatmu wahai Rasulallah.

Semoga kita dapat bersama-sama Baginda di sana nanti.
Sabda Baginda, "Barangsiapa yang menghidupkan sesuatu dari sunnahku, sesungguhnya aku dan dia di dalam syurga nanti seolah 2 jari(sangat berada dekat)"
Bagaimana pula cinta kita terhadap Baginda? Sampaikah kita kepada martabat sayang dan cinta yang sebenar. Ataupun masih lagi ada dalam hati kita cebisan cinta yang melebihi cinta kepada Baginda. Beringatlah, semoga Baginda sudi menerima kita di saat ingin melangkah ke syurga nanti.




Anonymous –   – (May 18, 2010 at 4:49 AM)  

Moga kita menjadi ummat baginda yang setia. ameen

Post a Comment

Semarak Perjuangan...

PERUBATAN Caw. Iskandariah

PERUBATAN Caw. Iskandariah
Laman Rasmi PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Forum Perbincangan PCI

Forum Perbincangan PCI
Forum Perbincangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Keluarga Penuntut Terengganu

Keluarga Penuntut Terengganu
Laman Rasmi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT)

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP