Followers

Melihat siapa mad'u kita.

Menjadi satu kemestian kepada seseorang pendakwah untuk menilai dengan bijak tahap mad'u yang mereka hadapi. Saya cuba fahami apa yang saya baca semoga boleh dikongsikan dengan baik kepada sahabat-sahabat yang turut sama berjalan bersama saya. Hari ini, semakin kita mengenali masyarakat, semakin luas skop tuntutan kita terhadap mereka. Tuntutan kita untuk membantu, menghulurkan sebaik mungkin pertolongan, beringat mana yang kurang, berpesan mana yang songsang dan yang paling penting untuk sama-sama membuat kebaikan.

Setiap orang yang kita jumpa, pasti berbeza nilai ilmunya. Demikian itu, berbeza pula tahap pemikirannya. Akhirnya sudah tentu pendekatan kita untuk mendekati dan bersahabat dengannya menjadi titik tolak kita supaya tidak berlaku salah faham dan percanggahan pendapat. Pentingnya nilai tafahum dalam masyarakat bukan untuk menilai dan merendah-rendahkan mereka, sebaliknya supaya kita kenal dan hormat pemikiran mereka yang mungkin jauh berbeza dengan kita. Bermula dengan latar belakang agama, keluarga dan pendidikan, semuanya membawa kesan kepada tutur hatinya dan cara ideanya dijana.

Islam menyuruh kita supaya mengenali pendakwah bahkan pendakwah juga perlu mengenali orang yang didakwah supaya tidak timbul percanggahan pada apa yang ingin isampaikna. Lebih buruk apabila berhadapan dengan orang yang kurang faham, kemudiannya membuat hukum sendiri berdasarkan kepentingan peribadi. Situasi ini perlu dijaga supaya tidak merosakkan medan dakwah dan penyampaian ilmu kepada mereka yang berhak.

Jangan disalaherti apa yang ingin saya sampaikan, bukanlah seruan untuk menyembunyikan ilmu, jauh sekali mengajar umat supaya menyempitkan pemikiran, sebaliknya hanya berpendapat supaya keharmonian dan disiplin ilmu islam lebih terjaga.

Berkata Imam as-Syatibi:
"Bukanlah setiap perkara yang diketahui dituntut agar disebarkan walaupun ia dari ilmu syara' yang memberi info hukum. Dari itu, dibahagikan:
  • Ada yang dituntut agar disebarkan iaitu ilmu syara' yang dianggap biasa.
  • Ada yang tidak dituntut untuk disebarkan secara total kerana berdasarkan waktu atau individu tersebut.
Jika ilmu demikian diajarkan kepada mereka yang belum faham, pasti akan memberi impak berupa fitnah seperti mana yang telah diterangkan. Penyebaran ilmu seperti ini dilarang sama sekali"

Kini jelas terbukti, timbulnya fitnah apabila orang awam didedahkan dengan pemasalahan hukum yang halus. hakikatnya mereka belum layak didedahkan dengan perkara sedemikian. Khilaf-khilaf yang tidak sepatutnya didedahkan umum menjadi hujah orang awam menolak hukum yang telah jelas disepakati oleh ulama' yang lebih muktabar.

Ibnu Abbas meriwayatkan pesanan supaya berjaga-jaga memberikan ilmu agar ia tidak menjadi fitnah kelak.
"Tiada engkau berkata-kata dihadapan satu kaum dengan ilmu yang belum dapat difahami oleh mereka, kecuali perkara itu menjadi fitnah bagi sebahagian mereka"

Daripada Saidina Ali Karramallahu wajhah berkata:
Hendaklah kamu bercakap dengan manusia dengan barang yang mereka faham. Apakah kamu suka bahawa Allah dan rasulNya didustakan orang" (H.R Bukhari)

Indahnya ilmu islam telah disusun rapi oleh alim ulama'. Peringkat-peringkat yang ada tidak boleh dijangkau sesuka hati sehingga membelakangkan disiplin ilmu yang ada. Jika kita berhadapan dengan golongan awam yang masih belum bersedia didedahkan dengan khilaf-khilaf ulama', maka apa gunanya kita hidangkan mereka dengan perbahasan tentang percanggahan pendapat antara ulama' mujtahidin? Jika prinsip serta ciri-ciri mazhab fiqh pun masih belum jelas, bermakna mereka masih belum layak didedahkan dengan khilaf fiqh.

Kesannya, akan lahir gejala yang merendah-rendahkan pendapat ulama' bahkan pendapat dalam mazhab sendiri pun menerima kesan untuk ditolak. Akhirnya timbullah sangkaan bahawa pengamalan dalam islam boleh dipilih-pilih sesuka hati tanpa memahami sejarah, punca dan garis panduan khilaf dalam kalangan ulama' itu sendiri.

Ini yang cuba saya faham. Masalah dalam berhadapan dengan khilaf perlu dititikberatkan supaya kita tidak menimbulkan sebarang fitnah kepada ilmu agama bahkan kepada agama kita sendiri. Sedangkan Imam as-Syafie pun menghormati pendapat mazhab lain, apatah lagi kita yang hanya mengikut hukum yang sudah ada dan telah disepakati oleh para ulama'. Semoga kefahaman kita tentang khilaf ini membuka jalan yang lebih luas untuk kita meneruskan agenda di medan dakwah ini. Siiru ala barakatillah.

Post a Comment

Semarak Perjuangan...

PERUBATAN Caw. Iskandariah

PERUBATAN Caw. Iskandariah
Laman Rasmi PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Forum Perbincangan PCI

Forum Perbincangan PCI
Forum Perbincangan PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Keluarga Penuntut Terengganu

Keluarga Penuntut Terengganu
Laman Rasmi Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT)

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP